Berita Berita
Pijak al-Quran gara-gara berang dikritik netizen, Vikneswaran dipenjara 12 bulan, denda RM250,000
KUANTAN 13 Nov – Gara-gara tidak berpuas hati selepas dikritik menggunakan bahasa kesat oleh pengguna media sosial, seorang bekas pelajar universiti bertindak memijak al-Quran sebelum memuat naik perbuatan itu sehingga tular di media sosial.
Perbuatan tersebut membawa padah apabila S Vikneswaran, 21, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencemarkan al-Quran dan menghantar komunikasi jelik melampau.
Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman berkenaan serta memerintahkan tempoh pemenjaraan bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan iaitu 12 November.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Dalam penghakimannya, Harmi Thamri menegaskan hukuman itu bukan sahaja bertujuan memberi pengajaran kepada tertuduh, malah menjadi peringatan kepada masyarakat supaya tidak mengulangi perbuatan sama.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman yang mewakili tertuduh memohon supaya pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan difailkan.
Permohonan itu dibuat atas alasan anak guamnya mempunyai beberapa janji temu rawatan psikiatri yang perlu dihadiri.
Namun, Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Mohd Sabri Othman membantah permohonan berkenaan kerana tiada keadaan khas yang mewajarkan penangguhan hukuman.
Sehubungan itu, tertuduh mula menjalani hukuman penjara pada hari sama.
Mengikut pertuduhan pertama, Vikneswaran didakwa mencemarkan al-Quran yang dianggap suci oleh penganut Islam dengan niat mengaibkan agama berkenaan di Jalan Gambang, Taman Seri Mahkota, kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 22 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan akaun Threads bernama 'ryandaselva' untuk menghasilkan dan menghantar komunikasi bersifat jelik melampau dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, peruntukan itu membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian terbongkar selepas bapa tertuduh menerima panggilan daripada anak perempuannya pada 24 Februari yang memaklumkan mengenai video tular di Threads memaparkan perbuatan berkenaan.
Bapa tertuduh kemudian menghubungi anak lelakinya untuk mendapatkan penjelasan sebelum Vikneswaran mengakui individu yang memijak al-Quran dalam video tersebut adalah dirinya.
Hasil siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan pada 22 Februari di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan selepas tertuduh berang kerana menerima kritikan berbaur kata-kata kesat daripada pengguna media sosial lain.
Susulan itu, polis menahan tertuduh kira-kira jam 3.30 petang pada 25 Februari serta merampas sebuah telefon bimbit dan senaskhah al-Quran bagi membantu siasatan.
Analisis terhadap akaun media sosial serta laporan syarikat telekomunikasi turut mengesahkan akaun dan nombor telefon yang digunakan mempunyai kaitan dengan tertuduh serta keluarganya.
Berita berkaitan
November 14, 2026, 1:38 am
Ibu ditemukan maut dipercayai dijerut anak sendiri di Banting
November 13, 2026, 10:04 pm
‘Macam ambil wuduk sebelum solat, ahli Pas wajib undi calon BN, PN’ – Hadi Awang
November 13, 2026, 7:41 pm
UMNO beri DAP empat pilihan, bubar Parlimen jika kerjasama politik berakhir
November 13, 2026, 6:47 pm
Anggota polis ditetak di Kepong tunjuk perkembangan positif, sudah mampu gerakkan jari — Fahmi
November 13, 2026, 6:40 pm
RoS tidak pernah luluskan pendaftaran pertubuhan berkaitan komuniti Rohingya
November 13, 2026, 6:33 pm
JPN Pulau Pinang siasat dakwaan pelajar Tingkatan Lima ditampar guru hingga enggan duduki SPM
November 13, 2026, 6:28 pm
Anak perempuan MB Kedah dirawat di ICU akibat kemalangan, mungkin terlepas peperiksaan SPM
November 13, 2026, 6:12 pm
