TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UMNO beri DAP empat pilihan, bubar Parlimen jika kerjasama politik berakhir

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 13 Nov – UMNO menggariskan empat pilihan bagi menangani ketegangan politik dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk kemungkinan pembubaran Parlimen ke-15 sekiranya kerjasama antara parti gabungan tidak dapat diteruskan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pilihan berkenaan merangkumi pengantaraan melalui Majlis Perundingan, mengekalkan aturan sedia ada, mengkaji semula Perenggan C Perjanjian Gabungan atau menamatkan kerjasama politik.

Menurutnya, Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dimeterai pada 16 Disember 2022 tidak mempunyai klausa khusus bagi penamatan kerjasama sebelum penggal Parlimen ke-15 berakhir.

"Justeru, kesimpulan yang jelas dalam perkara ini adalah pembubaran Parlimen ke-15," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu dibuat susulan pertikaian antara pemimpin UMNO dan DAP berhubung perkembangan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang turut mencetuskan perdebatan mengenai kedudukan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengulas desakan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sekiranya tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azalina menyifatkan tindakan tersebut sebagai sesuatu yang dikesali.

Beliau menegaskan bahawa desakan terbuka terhadap pemimpin parti gabungan bukan pendekatan yang membina, sebaliknya sebarang pertikaian perlu diselesaikan melalui rundingan.

"Fasal 5(c) memperuntukkan mekanisme pengantaraan menerusi Majlis Perundingan yang terdiri daripada wakil gabungan yang mengambil bahagian bagi memantau pelaksanaan Perjanjian Gabungan serta memudah cara penyelesaian secara harmoni terhadap sebarang pertikaian atau salah faham.

"Dalam hal ini, agak menghairankan apabila klausa pengantaraan tersebut tidak digunakan lebih awal, sedangkan perkara berkaitan pengampunan ini telah diketahui umum sejak Januari 2024," tegas beliau.

Azalina berkata, Fasal 4 Perjanjian Gabungan menetapkan komitmen parti-parti Kerajaan Perpaduan untuk menyokong Anwar dalam urusan penting termasuk usul percaya, rang undang-undang perbekalan dan perkara yang menjejaskan kesahan perlembagaan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, komitmen itu tidak bermakna semua parti perlu bersetuju tanpa syarat dengan setiap pendirian politik Perdana Menteri atau pemimpin gabungan lain.

Beliau turut menekankan kepentingan Perenggan C dalam Mukadimah Perjanjian Gabungan yang menyentuh tanggungjawab mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta institusi Raja-Raja Melayu.

"Perenggan C dalam Mukadimah Perjanjian merupakan bahagian paling penting dalam perjanjian tersebut turut menegaskan komitmen pihak yang menandatangani untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam, orang Melayu dan Bumiputera dari sudut perlembagaan serta institusi Raja-Raja Melayu," katanya.

Ketegangan antara kedua-dua parti tercetus susulan kenyataan Gobind yang mencabar Ahmad Zahid serta menteri UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya meletakkan jawatan Kabinet sekiranya tidak lagi yakin terhadap kepimpinan Anwar.

Ahmad Zahid bagaimanapun menolak desakan tersebut dan menegaskan sokongan BN terhadap Perdana Menteri tidak pernah berbelah bahagi.

Sebaliknya, beliau menyarankan pemimpin DAP yang tidak sependapat supaya mengikuti langkah Anthony Loke Siew Fook yang mengemukakan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Mengulas isu pengampunan Najib, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) menegaskan kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tertakluk kepada prosedur dan aturan institusi yang ditetapkan.

Katanya, pelaksanaan kuasa berkenaan tidak sepatutnya dianggap sebagai keputusan politik sepihak atau dikaitkan dengan mana-mana parti, termasuk UMNO.

Beliau turut mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lalu yang memutuskan supaya Anthony meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan tanpa rundingan terlebih dahulu dengan rakan gabungan.

Menurutnya, tindakan unilateral sedemikian menyumbang kepada ketidakstabilan politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Walaupun berlaku perbezaan pendirian, Azalina menegaskan UMNO tetap komited untuk terus berada dalam Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat dan negara.

"UMNO akan terus menghormati komitmen yang telah dibuat, menghormati kepimpinan Perdana Menteri serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

+ - reset