TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPN Pulau Pinang siasat dakwaan pelajar Tingkatan Lima ditampar guru hingga enggan duduki SPM

By
|
Kongsi
image

GEORGE TOWN, 13 Nov. – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengambil maklum berhubung dakwaan tular di media sosial membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima yang didakwa ditampar, dicubit, dan dihina oleh seorang guru gara-gara tidak mencapai keputusan baik dalam subjek Prinsip Perakaunan.

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad mengesahkan bahawa insiden yang didakwa berlaku di sebuah sekolah di Kubang Semang itu telah berada dalam pengetahuannya dan pihak jabatan memerlukan sedikit masa sebelum mengeluarkan kenyataan maklum balas rasmi.

Terdahulu, ibu kepada pelajar berkenaan menerusi hantaran di laman sosial Threads mendedahkan bahawa anaknya kini mengalami trauma, hilang keyakinan diri, serta takut untuk hadir ke sekolah sehingga menyuarakan hasrat untuk tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula minggu hadapan.

Menurut wanita itu, keluarganya telah membuat laporan polis semalam dengan kehadiran pihak pengurusan sekolah termasuk Pengetua serta Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM).

Bagaimanapun, beliau meluahkan rasa kecewa apabila anaknya didakwa diminta mempertimbangkan nasib guru terbabit atas alasan pendidik berkenaan merupakan seorang ibu tunggal yang berisiko kehilangan pekerjaan sekiranya aduan itu dipanjangkan, selain perbuatan menampar tersebut disifatkan sekadar 'tampar-tampar manja'.

Sambil menegaskan bahawa tugas mendidik tidak wajar melibatkan kecederaan fizikal mahupun menjatuhkan maruah pelajar, wanita itu turut memohon campur tangan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek agar mengambil tindakan sewajarnya demi melindungi emosi dan masa depan anaknya. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset