TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘UMNO sendiri yang gugat kestabilan kerajaan, bekerjasama dengan PAS’ - Ramkarpal 'sound' Azalina

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Nov – DAP membidas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dengan mendakwa parti itu sendiri yang menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan menerusi kerjasama politik dengan PAS, kritikan terbuka terhadap Perdana Menteri serta desakan supaya Parlimen dibubarkan.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Ramkarpal Singh berkata, tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjalinkan hubungan politik dengan pembangkang ketika masih menjadi sebahagian daripada kerajaan menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan parti itu terhadap kerjasama yang dibentuk.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu, tindakan berkenaan juga dilihat bertentangan dengan semangat Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dimeterai pada 16 Disember 2022.

"Hubungan dan penjajaran politik yang berterusan antara UMNO/Barisan Nasional (BN) dengan PAS, meskipun UMNO adalah rakan teras dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

"Mereka bekerjasama dengan pembangkang, sedangkan pada masa sama berada dalam pentadbiran kerajaan, menimbulkan persoalan serius mengenai keikhlasan dan komitmen UMNO terhadap mandat bersama gabungan itu, sekali gus berpotensi menjejaskan kestabilan kerajaan secara serius.

"Perkara ini jelas terbukti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan di Melaka yang sedang berlangsung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramkarpal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Azalina yang sebelum ini mengemukakan empat pilihan kepada DAP susulan ketidakpuasan hati parti itu terhadap perkembangan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Antara pilihan yang dikemukakan Azalina termasuk mendapatkan pengantaraan menerusi Majlis Perundingan, mengekalkan aturan sedia ada, mengkaji semula Perenggan C Perjanjian Gabungan atau menamatkan kerjasama politik melalui pembubaran Parlimen.

Azalina turut menjelaskan bahawa perjanjian yang dimeterai pada 16 Disember 2022 tidak mengandungi klausa penamatan sebelum berakhirnya penggal Parlimen ke-15.

Mengulas lanjut, Ramkarpal mendakwa terdapat corak kritikan terbuka secara berterusan oleh beberapa pemimpin UMNO terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh menjejaskan kewibawaan kepimpinan kerajaan.

"Walaupun perbahasan dalaman secara membina adalah sihat dalam mana-mana gabungan, serangan terbuka yang berterusan hanya akan melemahkan kewibawaan Perdana Menteri dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan secara keseluruhannya.

"Ketiga, desakan pemimpin UMNO supaya Parlimen dibubarkan ketika kita sedang bersama-sama mentadbir negara sekali lagi menunjukkan sikap tidak menghormati langsung kestabilan yang sudah dijanjikan kepada rakyat.

"Seperti yang ditekankan sebelum ini, Kerajaan Perpaduan dibentuk untuk memastikan pentadbiran yang stabil dan pemulihan ekonomi, bukannya mewujudkan ketidaktentuan politik demi kepentingan parti yang sempit dan mementingkan diri sendiri.

"Sekiranya terdapat sebarang dakwaan mengenai pengkhianatan kepercayaan atau pelanggaran terma kerjasama politik serta perjanjian berkenaan, rekod tindakan masing-masing sudah cukup untuk menjelaskan keadaan sebenar," katanya.

Dalam pada itu, Ramkarpal menyifatkan kenyataan Azalina sebagai sesuatu yang menggelikan hati kerana menurutnya, pemimpin UMNO itu sepatutnya menghayati semula tujuan asal pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, perjanjian berkenaan diwujudkan bagi memastikan kestabilan politik, pembaharuan, perpaduan sosial dan keterangkuman dalam pentadbiran negara.

"Kenyataan Azalina sememangnya menggelikan hati. Mungkin beliau sepatutnya mengingatkan dirinya semula mengenai tujuan Perjanjian berkenaan yang dirumuskan dengan jelas.

"Perjanjian berkenaan dimeterai oleh parti-parti terbabit dengan tujuan utama untuk memastikan pembentukan sebuah kerajaan yang stabil," katanya.

Tegasnya, DAP kekal komited sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta akan terus menyokong agenda reformasi dan pembangunan ekonomi yang diterajui Anwar.

Beliau turut menegaskan DAP sentiasa menghormati terma perjanjian kerjasama berkenaan dan tidak akan berdiam diri sekiranya integriti gabungan itu terjejas.

"Namun kami tidak akan teragak-agak untuk menyatakan kebenaran apabila integriti gabungan itu dikompromi," katanya.

+ - reset