TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Melaka: ‘Hatrik’ tiga kemenangan berturut-turut bukan alasan untuk bermegah – Ahmad Zahid

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 14 Nov – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mendakwa berjaya menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, sekali gus memperoleh majoriti lebih dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tidak rasmi itu memperlihatkan kesinambungan momentum yang disifatkannya sebagai 'gelombang biru' selepas kemenangan gabungan berkenaan di Johor dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, kemenangan tiga kali berturut-turut itu bukan alasan untuk BN dan PN bermegah, sebaliknya perlu diterima dengan penuh rasa syukur serta tanggungjawab terhadap mandat diberikan rakyat.

"Kemenangan hatrik ini tiga kali berturut-turut bukan alasan untuk kita bermegah, sebaliknya kami menerima dengan penuh kesyukuran dan kerendahan hati serta keinsafan.

"Kami sedar bahawa mandat diberikan membawa amanah besar untuk melunaskan setiap manifesto dan memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Melaka tanpa mengira agama bangsa dan latar belakang.

"BN dan PN berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka dengan memenangi 24 kerusi...mandat melebihi dua pertiga majoriti membuktikan bahawa Melaka terus memilih rekod pencapaian dan kestabilan serta hala tuju pembangunan yang ditawarkan BN dan PN," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Command Centre BN, di sini, malam ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya berharap momentum kemenangan berkenaan dapat diteruskan ke seluruh negara pada masa hadapan.

Katanya, perkembangan itu diharap dapat memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mampu menawarkan kestabilan politik serta hala tuju pembangunan yang jelas.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan keputusan PRN Melaka sebagai cerminan persefahaman politik antara BN dan PN yang semakin kukuh.

Menurutnya, kerjasama yang dibina atas asas persefahaman dan keikhlasan itu semakin mendapat penerimaan dalam kalangan pengundi.

Bagaimanapun, jumlah 24 kerusi yang diumumkan itu masih berdasarkan keputusan tidak rasmi dan tertakluk kepada pengesahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

+ - reset