Berita Berita
PRN Melaka: Keputusan pertama dijangka 9.30 malam, semua 28 kerusi diketahui sebelum tengah malam
MELAKA 14 Nov – Keputusan pertama Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dijangka diketahui selewat-lewatnya jam 9.30 malam ini, manakala keputusan rasmi bagi keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka diumumkan sebelum tengah malam.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya menjangkakan proses pengiraan undi dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan bagi membolehkan keputusan diumumkan kepada rakyat secepat mungkin.
“Keputusan pertama kita boleh laporkan kepada rakyat selewat-lewatnya pada 9.30 malam dan keseluruhan keputusan kita jangka dapat dicapai sebelum 12 tengah malam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim, hari ini.
Mengulas kadar keluar mengundi, Ramlan menyifatkan peratusan 31.07 peratus yang direkodkan setakat jam 11.25 pagi sebagai perkembangan memberangsangkan.
Menurutnya, SPR masih optimis sasaran minimum 70 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya kali ini mampu dicapai.
“Saya masih yakin dengan angka 70 hingga 75 peratus. Minimum 70 peratus boleh dicapai pada kali ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya keluar lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan berikutan ramalan hujan pada sebelah petang.
Dalam perkembangan sama, Ramlan memaklumkan lebih 7,000 pengundi orang kurang upaya (OKU) berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat ini.
Katanya, pengundi wanita turut merekodkan kadar keluar mengundi lebih tinggi berbanding lelaki berdasarkan data masa nyata yang diperoleh menerusi sistem OCR-VA SPR.
Sementara itu, SPR merekodkan sebanyak 301 kesalahan kecil berkaitan pilihan raya sehingga malam tadi, dengan kebanyakannya membabitkan pemasangan bahan kempen.
“Jumlah 301 itu saya tidak boleh kata satu angka yang rendah. Kita berharap perkara ini dapat dikurangkan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Beliau turut menghargai kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat mengenai kesalahan pilihan raya, selain memaklumkan tindakan sudah diambil terhadap aduan diterima.
Untuk rekod, seramai 675,166 pengundi layak menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi 28 kerusi DUN pada PRN Melaka kali ini.
Berita berkaitan
November 15, 2026, 12:20 am
Anwar ucap tahniah kepada BN, kerajaan Persekutuan sedia terus kerjasama bangunkan Melaka
November 14, 2026, 10:16 pm
PRN Melaka: ‘Hatrik’ tiga kemenangan berturut-turut bukan alasan untuk bermegah – Ahmad Zahid
November 14, 2026, 9:30 pm
PRN Melaka: PH hanya menang empat kerusi, Adly terima kekalahan dengan hati terbuka
November 14, 2026, 9:16 pm
PRN Melaka: Pecah rekod! Dulu menang 200 undi, kini BN tawan Duyong dengan majoriti lebih 10,000
November 14, 2026, 7:45 pm
Tidak rasmi: BN-PN mendahului 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka, PH hanya empat kerusi
November 14, 2026, 7:39 pm
Nama sudah ditanda mengundi walaupun belum buang undi, Adly gesa SPR beri penjelasan
November 14, 2026, 6:48 pm
BN dahului tiga DUN, PN di depan di Bukit Katil dalam kiraan awal PRN Melaka
November 14, 2026, 5:33 pm
PRN Melaka: Hampir 70 peratus keluar mengundi, DUN Serkam paling tinggi
November 14, 2026, 3:12 pm
