TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar ucap tahniah kepada BN, kerajaan Persekutuan sedia terus kerjasama bangunkan Melaka

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) selepas gabungan itu memperoleh mandat besar daripada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, hari ini.

Beliau berharap kemenangan tersebut diterjemahkan melalui pentadbiran yang bertanggungjawab serta mengutamakan kesejahteraan rakyat Melaka.

Anwar turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan demi manfaat seluruh rakyat.

"Kini masanya untuk kita melangkah ke hadapan dengan mengutamakan kepentingan rakyat, dan Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka demi memacu pembangunan serta menjamin kesejahteraan seluruh rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Melaka yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing dalam menentukan kepimpinan negeri.

Penghargaan sama turut diberikan kepada seluruh jentera dan calon Pakatan Harapan (PH) yang telah bekerja keras sepanjang tempoh pilihan raya berkenaan.

Pada PRN Melaka ke-16, BN mencatat kemenangan besar apabila menguasai 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.

+ - reset