TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Melaka: Hampir 70 peratus keluar mengundi, DUN Serkam paling tinggi

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 14 Nov – Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 terus meningkat kepada 69.29 peratus, sekali gus semakin menghampiri sasaran minimum 70 peratus yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berdasarkan data terkini menerusi papan pemuka SPR, seramai 463,685 daripada keseluruhan 669,211 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab masing-masing ketika berbaki kira-kira sejam sebelum pusat pengundian ditutup pada jam 6 petang ini.

Jumlah itu menyaksikan kadar keluar mengundi hanya memerlukan peningkatan 0.71 mata peratusan lagi untuk mencapai sasaran minimum berkenaan.

Mengikut pecahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Serkam merekodkan peratusan keluar mengundi tertinggi setakat ini iaitu 78.61 peratus.

Ia diikuti DUN Ayer Molek dengan 77.97 peratus dan Tanjung Bidara sebanyak 75.42 peratus.

Sementara itu, Sungai Rambai turut mencatatkan kadar kehadiran tinggi iaitu 75.26 peratus, diikuti Duyong (74.28 peratus), Ayer Limau (74.11 peratus) dan Merlimau (73.34 peratus).

Bagaimanapun, DUN Bandar Hilir merekodkan peratusan keluar mengundi paling rendah setakat ini dengan hanya 56.70 peratus.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun menyatakan keyakinan bahawa sasaran minimum 70 peratus keluar mengundi mampu dicapai pada PRN Melaka kali ini.

SPR turut menjangkakan keputusan pertama pilihan raya berkenaan dapat diketahui selewat-lewatnya jam 9.30 malam, manakala keputusan rasmi bagi keseluruhan 28 kerusi DUN diumumkan sebelum tengah malam.

+ - reset