TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nama sudah ditanda mengundi walaupun belum buang undi, Adly gesa SPR beri penjelasan

By
|
Kongsi
image

 

ALOR GAJAH 14 Nov – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memberikan penjelasan susulan aduan seorang pengundi di Merlimau yang mendakwa namanya sudah ditandakan sebagai telah mengundi, sedangkan individu terbabit belum menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, insiden itu antara beberapa aduan yang diterima sepanjang proses pengundian berlangsung, sekali gus memerlukan penjelasan pihak SPR bagi mengelakkan kekeliruan.

Menurutnya, terdapat juga aduan berkaitan penyebaran risalah dan perhimpunan di hadapan pusat mengundi, namun keadaan berjaya dikawal selepas pihak polis mengambil tindakan meleraikan perhimpunan berkenaan.

"Saya fikir isu tidak dapat mengundi tidak timbul lagi kecuali di Merlimau apabila ada seorang pengundi membangkitkan perkara itu kerana namanya sudah mengundi.

"Pihak SPR perlu memberikan penjelasan perkara itu," katanya selepas selesai mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, di sini.

Terdahulu, Adly yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil meluangkan masa meninjau 11 sekolah yang dijadikan pusat mengundi sebelum membuang undi di DUN Durian Tunggal.

Mengulas perjalanan proses pengundian, beliau berkata, keadaan cuaca yang baik turut membantu kelancaran urusan pengundi, dengan kehadiran orang ramai dilihat memberangsangkan sejak pusat mengundi dibuka pada jam 8 pagi.

Katanya, penggunaan sistem baharu SPR yang memaparkan jumlah keluar mengundi secara masa nyata bagi kesemua 28 DUN turut memudahkan pemantauan perkembangan pengundian.

Beliau turut menyeru pengundi khususnya golongan muda supaya menggunakan peluang yang masih berbaki ketika itu untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Kepada yang masih belum keluar mengundi terutama generasi muda yang mana ada sesetengah tempat itu kadar tinggi dan ada masih kurang.

"Ini peluang yg terbaik untuk mereka dalam tempoh kurang sejam ini dan ada sebahagiannya pengalaman pertama, ambillah pengalaman itu kerana ia berkaitan masa depan untuk negeri Melaka," katanya.

+ - reset