TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Ramli tinggal kerusi Speaker untuk berbahas sebagai Ahli Parlimen

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 16 Nov. – Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr Ramli Mohd Nor bangun meninggalkan kerusi Speaker sebelum menyampaikan ucapan perbahasan dari tempat duduknya sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands.

Situasi luar biasa itu berlaku ketika sesi perbahasan peringkat jawatankuasa bagi peruntukan Belanjawan 2027 Kementerian Kerja Raya (KKR) yang ketika itu sedang dipengerusikan sendiri oleh beliau.

Dalam perbahasannya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan, Ramli mempersoalkan penangguhan surat setuju terima (SST) bagi beberapa projek infrastruktur jalan raya di Pahang, merangkumi pembinaan jalan sepanjang 34 kilometer dari Pos Sendrut ke Lipis bernilai RM320 juta serta laluan dari Pos Selenjang ke Pos Itom bernilai RM90 juta.

Tindakan tersebut bagaimanapun mencetuskan bantahan sejurus beliau kembali ke kerusi Yang Dipertua apabila Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) membangkitkan Peraturan Mesyuarat bagi mempersoalkan siapa yang akan memantau pematuhan peraturan sekiranya individu yang mempengerusikan sidang turut bertindak sebagai pembahas.

Ngeh turut menyuarakan rasa dukacita dan bimbang insiden berkenaan boleh menjejaskan imej serta menjadikan institusi Parlimen Malaysia sebagai bahan ketawa di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) menegaskan bahawa Ramli sepatutnya melantik pengganti untuk mempengerusikan persidangan mengikut Peraturan Mesyuarat 7(3) sepanjang sesi perbahasannya kerana kerusi Yang Dipertua tidak wajar dibiarkan kosong.

Ramli yang tetap mempertahankan keputusannya menjelaskan bahawa tindakan tersebut tidak melanggar mana-mana peraturan selepas semakan dibuat, selain mempelawa mana-mana Ahli Parlimen yang tidak berpuas hati untuk mengemukakan usul rasmi bagi pertimbangan lanjut. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset