TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dari RM4.67 juta jadi RM1,000: Hannah yeoh jelaskan KLSCAH berstatus bangunan warisan, tiada nilai komersial

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Nov - Status Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) sebagai bangunan warisan serta fungsinya sebagai institusi bukan berasaskan keuntungan menjadi asas pertimbangan pengurangan premium tanah kepada RM1,000, kata Hannah Yeoh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata, bangunan berkenaan diwartakan sebagai bangunan warisan pada awal 2007, menyebabkan tanahnya tidak lagi dinilai sebagai tanah komersial.

Menurutnya, penggunaan tanah itu terhad kepada tujuan institusi dan perlu mengekalkan fungsi bangunan warisan berkenaan.

"Ia tidak boleh dibangunkan menjadi kondominium atau pusat beli-belah, sebaliknya hanya kekal sebagai bangunan warisan institusi seperti sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Wilayah Persekutuan), pada Isnin.

Hannah menjelaskan, KLSCAH yang mempunyai baki tempoh pajakan lapan tahun mengemukakan rayuan pengurangan premium berdasarkan status warisan dan operasinya sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan.

Atas dasar itu, jawatankuasa yang menilai permohonan berkenaan bersetuju menetapkan premium pada kadar nominal RM1,000.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium RM1,000 berbanding anggaran terdahulu kira-kira RM4.67 juta.

Pada 14 September lalu, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan meluluskan penyerahan dan pemberian milik semula tanah berkenaan bagi kegunaan institusi.

Surat kelulusan rasmi bertarikh 1 Oktober menetapkan premium tanah sebanyak RM1,000, manakala jumlah keseluruhan perlu dibayar berdasarkan notis tanah rasmi ialah RM5,011, termasuk sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran.

Kadar sewa tanah tahunan pula ditetapkan sebanyak RM3,151.

Keputusan itu menyusuli komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan pertimbangan khas terhadap usaha memelihara bangunan bersejarah tersebut selepas mengunjungi dewan berkenaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Februari lalu.

+ - reset