TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Kalah pilihan raya bukan kalah perjuangan, korbankan prinsip demi kuasa baru tewas’ – Mat Sabu

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 Nov – AMANAH menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan hati terbuka, namun menegaskan kekalahan pilihan raya tidak bermakna perjuangan parti itu turut tewas, kata Presidennya, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, kemenangan sebenar perlu diukur berdasarkan kemampuan mempertahankan prinsip, keadilan dan integriti, bukannya semata-mata memperoleh kuasa.

“Kita boleh kehilangan jawatan. Kita boleh kalah dalam pilihan raya. Tetapi apabila kita mengorbankan prinsip untuk mendapatkan kuasa, ketika itulah kita sebenarnya telah kalah dalam perjuangan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohamad, rakyat dalam sebuah negara demokrasi berhak memilih pemerintah dan keputusan itu perlu diterima walaupun terdapat pihak yang tidak bersetuju dengannya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan kemenangan pilihan raya perlu dibezakan daripada kemenangan sesuatu perjuangan.

“Ada parti yang menang kerana kekuatan dasar dan kepimpinannya. Tetapi ada yang menang kerana berjaya membangkitkan ketakutan, memainkan sentimen kaum dan mengeksploitasi perasaan rakyat.

“Persoalannya, sampai bilakah politik seperti ini boleh bertahan?” katanya.

Beliau berkata, sentimen kaum dan agama boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya, namun tidak semestinya mampu mengekalkan pengaruh selama-lamanya kerana pemikiran serta pilihan rakyat boleh berubah.

Mengambil perkembangan politik Amerika Syarikat sebagai perbandingan, beliau berkata, perubahan kepimpinan dan penerimaan terhadap calon daripada pelbagai latar belakang menunjukkan masyarakat tidak semestinya terus terikat dengan faktor keturunan, warna kulit atau agama.

Menurutnya, apabila pemikiran masyarakat semakin matang, rakyat akan menilai kebolehan pemimpin, dasar yang ditawarkan, kejujuran dan kemampuan menyelesaikan masalah kehidupan mereka.

Mohamad berkata, Malaysia juga tidak terkecuali daripada perubahan itu.

“Kita perlu bertanya, apakah makna ketuanan Melayu jika orang Melayu sendiri menjadi mangsa rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin yang mendakwa memperjuangkan bangsa mereka?

“Apakah makna mempertahankan Islam jika kesalahan orang Islam mahu dibenarkan semata-mata kerana persamaan agama?

“Islam tidak pernah mengajar demikian,” katanya.

Beliau menegaskan kedudukan orang Melayu dan martabat Islam sebagaimana dijamin Perlembagaan wajib dipertahankan, namun perjuangan itu tidak bermakna setiap perbuatan pemimpin Melayu perlu dibela termasuk apabila melakukan kesalahan.

Katanya, perkara itu membezakan perjuangan bangsa dengan asabiyah yang sempit.

“Bagi saya, pemimpin Melayu yang amanah lebih bernilai daripada pemimpin Melayu yang hanya pandai melaungkan slogan ketuanan tetapi mengkhianati kepercayaan rakyat.

“Begitu juga pemimpin daripada mana-mana bangsa. Ukurannya mestilah sama, iaitu kebolehan, akhlak, integriti dan kesanggupan menegakkan keadilan,” katanya.

Menyentuh kedaulatan undang-undang, Mohamad berkata, kedudukan dan jawatan tidak boleh menjadi pelindung daripada tindakan undang-undang.

Beliau turut merujuk kes membabitkan tiga bekas Menteri Besar, iaitu Datuk Harun Idris, Dr Mohamad Khir Toyo dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, sebagai contoh pemimpin yang pernah mempunyai kuasa besar turut dibawa ke muka pengadilan.

“Dalam negara yang benar-benar menjunjung kedaulatan undang-undang, jawatan tidak boleh menjadi perlindungan daripada hukuman.

“Jika seorang rakyat biasa mesti mematuhi keputusan mahkamah, mengapa orang yang pernah berkuasa perlu diberikan pertimbangan yang berbeza?” katanya.

Menurutnya, hak membela diri dan membuat rayuan perlu dihormati, namun pelaksanaannya mesti berdasarkan prinsip sama tanpa dipengaruhi politik, kekayaan atau kedudukan seseorang.

Beliau berkata, persepsi mengenai kewujudan undang-undang dua darjat boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman dan akhirnya menghakis kewibawaan negara.

Sehubungan itu, beliau menyokong golongan intelektual, pengamal undang-undang, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil yang mempertahankan kebebasan kehakiman serta kesaksamaan di sisi undang-undang.

“Ini bukan persoalan membalas dendam politik. Kita tidak mahu seseorang dihukum kerana dia musuh politik, sebagaimana kita juga tidak mahu seseorang dilepaskan daripada tanggungjawab hanya kerana dia kawan politik.

“Keadilan mesti mengatasi kedua-duanya,” katanya.

Mohamad menegaskan AMANAH akan terus mempertahankan pendirian itu walaupun mungkin tidak popular dalam kalangan pihak tertentu.

Katanya, AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) perlu terus membuktikan politik berasaskan keadilan, integriti serta khidmat kepada rakyat merupakan pilihan lebih baik.

“Bagi saya, kuasa hanyalah alat untuk melaksanakan amanah. Ia bukan tujuan yang menghalalkan segala cara,” katanya.

Beliau turut menegaskan AMANAH akan terus berusaha mengembalikan kepercayaan rakyat tanpa mengorbankan prinsip perjuangan.

“AMANAH akan terus bekerja untuk mengembalikan kepercayaan rakyat. Kita tidak perlu membenci sesiapa untuk mempertahankan kebenaran, dan kita tidak perlu mengkhianati prinsip untuk mencapai kemenangan.

“Perjuangan kita bukan untuk memastikan orang tertentu terus berkuasa, tetapi untuk memastikan negara ini terus dipimpin dengan adil dan amanah,” katanya.

+ - reset