TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

DBKL siap siaga 360 anggota, sedia pam berkuasa tinggi 180 HP hadapi banjir kilat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 Nov – Seramai 360 anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersiap siaga menghadapi risiko banjir kilat ketika hujan lebat, disokong pam berkuasa tinggi berkapasiti 180 kuasa kuda (HP) di 10 lokasi berisiko rendah.

Kesiapsiagaan itu sebahagian daripada langkah mitigasi banjir kilat yang menggabungkan penyelenggaraan perparitan, pembangunan infrastruktur saliran dan penyelarasan operasi di lapangan.

DBKL memaklumkan, anggota terbabit akan menyelaras tindakan ketika hujan lebat, termasuk membersihkan saliran tersumbat bagi melancarkan aliran air.

Maklumat insiden daripada 11 Pengurus Kawasan mengikut kawasan Parlimen turut disalurkan terus kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi mempercepat penyelarasan tindakan.

Dalam aspek pencegahan, penyelenggaraan sistem perparitan dilaksanakan setiap tiga bulan dan dipertingkat kepada setiap dua bulan sepanjang musim monsun.

Kerja membuang mendapan di 13 kolam takungan pula dilakukan setiap tiga bulan, dengan sokongan tujuh kontraktor perparitan dan 12 kontraktor kolam takungan.

Selain itu, bukaan saliran di tepi jalan diubah suai bagi mempercepat aliran air hujan memasuki sistem perparitan, sekali gus mengurangkan risiko air bertakung di permukaan jalan.

Bagi meningkatkan kapasiti tampungan air hujan, DBKL menyediakan sembilan Kolam Takungan Setempat (OSD), manakala enam lagi sedang dibina dan enam tambahan dirancang pada 2027.

Kemudahan OSD berfungsi menampung air hujan sebelum dilepaskan secara terkawal ke sistem saliran bagi mengurangkan beban aliran ketika hujan lebat.

DBKL turut memantau lebih 65 OSD yang dibangunkan pihak swasta bagi memastikan kemudahan berkenaan berfungsi seperti ditetapkan.

Sementara itu, tembok penghadang banjir sepanjang 1.3 kilometer siap dibina bagi membantu mengurangkan limpahan air dan melindungi kawasan berisiko.

Gabungan langkah pencegahan sebelum hujan dan kesiapsiagaan operasi ketika hujan lebat itu bertujuan mengurangkan risiko serta impak banjir kilat di ibu negara.

 

+ - reset