TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelatih PLKN dicadang bantu mangsa bencana, latihan boleh dilanjut hingga 180 hari

By
|
Kongsi
image

 

BAGAN DATUK 16 Nov – Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dicadang digerakkan sebagai sukarelawan ketika bencana, termasuk banjir, bagi menambah kekuatan sokongan kepada pasukan pengurusan bencana negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mobilisasi itu dapat membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana sedia ada di peringkat pusat dan negeri.

"Sekarang memang ada, umpamanya di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana. Namun, mereka akan berada di bidang berbeza, mungkin data boleh dikumpulkan untuk kita mobilisasikan mereka.

"Namun, jika mereka bekerja mungkin sukar sedikit, tetapi kita boleh cari pendekatan membawa mereka menjadi sukarelawan ketika bencana yang tenaga mereka diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 - PLKN 3.0 di Kompleks Sukan Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Brigedier Jeneral Samad Igom.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berpandangan tempoh latihan PLKN selama 45 hari ketika ini boleh ditambah kepada sekurang-kurangnya 90 hari bagi memantapkan latihan, khususnya dalam membentuk daya tahan diri pelatih.

Menurutnya, pelanjutan sehingga 180 hari juga wajar dipertimbangkan bagi memperkukuh penerapan nilai dan ketahanan mereka.

"Saya merasakan tempoh 45 hari itu walaupun mencukupi setakat ini, kalau mahu lebih mantap, haruslah difikirkan supaya dapat digandakan kepada 90 hari sekurang-kurangnya atau kemudiannya 180 hari.

"Ini kerana daya tahan dalam kalangan Wira Muda ini mesti diterapkan melalui kurikulum, insya-Allah, PLKN 4.0 atau 5.0 nanti," katanya.

Beliau berkata, banyak negara yang melaksanakan program seumpama PLKN menetapkan latihan selama setahun, namun kemampuan kewangan kerajaan perlu diambil kira dalam mempertimbangkan pendekatan itu.

"Pelatih kemudiannya menjadi pegawai diserapkan dalam Khidmat Negara sama ada tentera, polis atau Pertahanan Awam.

"Kita tidak semestinya mengikuti acuan mereka tetapi boleh mencontohi negara berkenaan. Dari segi jangka panjang, kita akan dapat mewujudkan generasi berdisiplin dan mempunyai daya tahan kuat," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata, pelatih PLKN berpotensi disalurkan ke program TVET atau mengikuti kursus kemahiran yang disepadukan dalam kurikulum latihan berkenaan.

Katanya, laluan untuk membolehkan pelatih memasuki pasaran pekerjaan dalam jumlah besar perlu disediakan tanpa perlu melalui institusi TVET secara formal.

Sebaliknya, latihan kemahiran itu boleh diserapkan melalui PLKN dengan kerjasama Majlis TVET Negara.

+ - reset