TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Khayal dadah dipercayai punca lelaki jerut leher ibu hingga maut di Banting

By
|
Kongsi
image

BANTING, 16 Nov. – Halusinasi akibat penyalahgunaan dadah dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak kejam menjerut leher ibu kandungnya sehingga maut dalam kejadian di sebuah kediaman di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu mengesahkan dia positif dadah jenis methamphetamine.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang giat dijalankan termasuk merakam keterangan beberapa orang saksi serta ahli keluarga mangsa bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

Terdahulu, suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 20 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam insiden pada Jumaat lalu, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 kira-kira jam 1 petang berhubung penemuan mayat mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an dengan kesan jerutan pada bahagian leher.

Susulan itu, pihak polis bertindak menahan anak lelaki mangsa yang disyaki terlibat secara langsung dalam kejadian pembunuhan tersebut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset