TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Pas tolak pelawaan sertai kerajaan, kekal dengan hala tuju politik semasa

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Pas menegaskan pendiriannya untuk terus berpegang kepada hala tuju politik sedia ada dan menolak sebarang pelawaan untuk menyertai kerajaan perpaduan ketika ini.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan pendirian rasmi parti itu menerusi satu hantaran ringkas di laman Facebook miliknya semalam bagi menjawab spekulasi serta gesaan berkaitan kerjasama politik.

Menurut beliau, Pas akan terus kekal istiqamah dengan jalan politiknya pada masa ini sambil mengucapkan terima kasih atas undangan dan jemputan yang dikemukakan pihak berkenaan.

Kenyataan Ahmad Fadhli itu dibuat sebagai maklum balas terhadap gesaan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad, yang sebelum ini meminta Pas menamatkan kerjasama dengan UMNO dan beralih arah menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Khalid dalam satu sidang media dilaporkan menyambut baik cadangan bekas Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rosli Yaakop, supaya parti itu menyokong kepimpinan Anwar dan Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, Khalid dan Rosli pernah menganggotai Jawatankuasa Pimpinan PAS Pusat sebelum masing-masing menyertai Amanah, namun Rosli dilaporkan telah kembali menyertai Pas pada Jun lalu. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset