TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

JPJ Perlis kesan dua kes perkhidmatan ‘Lady's Driver’ haram di media sosial

By
|
Kongsi
image

PADANG BESAR, 18 Nov. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengesan dua kes membabitkan wanita yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan berbayar khusus untuk penumpang wanita menggunakan nama ‘Lady's Driver’ menerusi platform media sosial seperti Telegram dan Threads.

Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd Nawi berkata, perkhidmatan yang beroperasi tanpa lesen dan kebenaran sah itu menawarkan penghantaran penumpang wanita ke destinasi seperti hospital, pusat beli-belah, dan kediaman saudara-mara dengan bayaran tertentu.

Menurut beliau, kegiatan menyamai operasi ‘teksi sapu’ tersebut berjaya dibongkar hasil pemantauan media sosial serta aduan orang awam dan pengendali e-hailing berlesen.

Beliau menegaskan bahawa penyediaan perkhidmatan pengangkutan tanpa lesen sah bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mendedahkan penumpang kepada risiko keselamatan serta menjejaskan perlindungan insurans sekiranya berlaku kemalangan.

Katanya pada sidang media di sini hari ini, penggunaan kenderaan persendirian untuk membawa penumpang berbayar tanpa kebenaran merupakan kesalahan menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi mengekang kegiatan berkenaan, JPJ Perlis telah mengeluarkan sebanyak 31 notis atas pelbagai kesalahan dan menyita 14 kenderaan antara Januari hingga Oktober tahun ini, dengan nilai denda mahkamah berjumlah RM14,000 direkodkan dalam tempoh sama.

Dalam perkembangan berasingan, Noraini memaklumkan pihaknya turut mengeluarkan 1,068 notis terhadap pemandu dan kenderaan pendaftaran Thailand serta menyita 16 kenderaan dalam tempoh sama, dengan kutipan kompaun keseluruhan mencecah RM257,430 sejak tahun lalu sehingga Oktober ini. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset