TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Dada ditumbuk berkali-kali' - Pelajar tingkatan 2 cedera dibelasah dalam kelas disyaki berpunca daripada 'chat' WhatsApp

By
|
Kongsi
image

 

TANGKAK 19 Nov – Tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun ditahan selepas seorang pelajar tingkatan dua cedera dipercayai ditumbuk dan ditendang berulang kali di dalam bilik darjah sebuah sekolah di sini, pada 13 November lalu.

Polis mengesyaki kejadian kira-kira jam 8 pagi itu berpunca daripada perselisihan faham berkaitan perbualan dalam kumpulan WhatsApp. Video kejadian berkenaan tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd Roslan Talib, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.09 tengah malam, 14 November lalu.

Katanya, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

“Hasil pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala, dada, perut dan lengan kiri.

“Bertindak atas laporan diterima, polis berjaya mengenal pasti dan menahan ketiga-tiga pelajar lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan perbualan dalam kumpulan WhatsApp sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati antara pelajar terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Roslan berkata, hasil temu bual mendapati ketiga-tiga suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

“Polis memandang serius sebarang kejadian buli dan keganasan khususnya membabitkan pelajar sekolah.

“Perbuatan menggunakan kekerasan bagi menyelesaikan perselisihan faham bukan sahaja boleh mendatangkan kecederaan, malah menjejaskan keselamatan mangsa.

“Ibu bapa dan pihak sekolah diseru supaya sentiasa peka terhadap tingkah laku serta pergaulan anak-anak dan tidak memandang ringan sebarang aduan berkaitan perbuatan buli,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian itu, khususnya maklumat yang boleh mendedahkan identiti pelajar terbabit.

+ - reset