TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cuba lari selepas kereta ditahan, lelaki maut berbalas tembakan dengan polis di Ipoh

By
|
Kongsi
image

 

IPOH 19 Nov – Seorang lelaki warga tempatan maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis selepas cuba melarikan diri ketika keretanya ditahan di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi ketika sepasukan polis menjalankan rondaan cegah jenayah samun di kawasan berkenaan.

Menurutnya, operasi itu membabitkan anggota JSJ Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Beliau berkata, selepas kenderaannya ditahan, suspek keluar untuk melarikan diri sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis.

"Pasukan polis bertindak menahan kereta suspek ketika rondaan cegah jenayah samun di sekitar kawasan Ipoh.

"Pasukan polis terpaksa membalas tembakan bagi menyelamatkan diri sehingga tiada lagi ancaman keselamatan di lokasi kejadian.

"Suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira 3.40 pagi. Sepucuk pistol turut ditemukan berhampiran suspek."

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.

Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan komen yang boleh mengganggu proses siasatan.

Orang ramai juga diminta tidak memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

+ - reset