TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UNHCR henti pendaftaran pelarian, Imigresen ambil alih secara berperingkat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Nov – Urusan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka di Malaysia memasuki fasa peralihan kepada kerajaan selepas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan semua aktiviti pendaftaran serta dokumentasi berkuat kuasa semalam.

UNHCR menerusi kenyataan di laman sesawang rasminya memaklumkan langkah itu selaras dengan keputusan kerajaan Malaysia untuk mengambil alih urusan pendaftaran komuniti berkenaan.

Agensi itu kini meneruskan perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia mengenai pelan hala tuju peralihan bagi memastikan kesinambungan perlindungan kepada pelarian dan pemohon suaka.

"UNHCR akan terus memberikan nasihat teknikal, perkongsian kapasiti dan kerjasama kepada kerajaan sepanjang proses peralihan itu.

"Walaupun aktiviti pendaftaran dan dokumentasi dihentikan, operasi UNHCR di Malaysia tidak ditutup.

"Kami bersama rakan kerjasama akan terus menjalankan aktiviti lain termasuk penempatan semula dan memberikan sokongan kepada pelarian serta pemohon suaka yang mempunyai keperluan perlindungan mendesak," katanya.

Pengumuman itu dibuat dua hari selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa Jabatan Imigresen mengambil alih pendaftaran dan pengurusan data komuniti pelarian secara berperingkat.

Pada Isnin lalu, Saifuddin menjelaskan pengambilalihan menerusi sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bertujuan membolehkan kerajaan mempunyai rekod data yang sahih dan menyeluruh tanpa bergantung kepada entiti luar.

Perkembangan berkenaan turut mendapat perhatian di media sosial apabila pemimpin politik dan orang ramai menyuarakan pandangan mengenai pengambilalihan itu.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi Threads menyifatkan pengumuman UNHCR sebagai perkembangan yang sudah lama dituntut rakyat Malaysia.

"Akhirnya, selepas sekian lama rakyat Malaysia mendesak UNHCR menghentikan pendaftaran baharu pelarian, UNHCR Malaysia menerusi kenyataan rasmi bertarikh 18 November 2026 mengumumkan bahawa aktiviti pendaftaran dan dokumentasi sudah dihentikan.

"Namun, usaha kita tidak boleh terhenti di sini. Saya akan memberikan respons lanjut berhubung perkara ini. Bersama-sama kita terus mempertahankan pertiwi yang berdaulat ini," katanya.

Sementara itu, pengguna Threads, @malayapulse membangkitkan persoalan mengenai kecekapan sistem baharu serta pembiayaan pengurusan pendaftaran selepas urusan berkenaan diambil alih Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Imigresen.

"Ini ke yang rakyat Malaysia nak? UNHCR sudah hentikan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka di Malaysia. Selepas ini, KDN melalui Imigresen akan mengendalikan pendaftaran melalui program DPP.

"Saya tertanya-tanya, adakah sistem pendaftaran baharu ini akan lebih cekap (pantas, manusiawi dan tiada rasuah)? Bagaimana pula dengan dana? Adakah kerajaan Malaysia akan menanggung kos atau UNHCR masih menyumbang?" katanya.

Hantaran itu menerima pelbagai reaksi, termasuk daripada @hafizahradzi yang berpandangan pelaksanaan DPP hanya membabitkan pendaftaran pemegang kad sedia ada di negara ini.

Pengguna berkenaan turut mendakwa rekod data pelarian sebelum ini tidak dikongsikan kepada pihak berkuasa tempatan.

"Masuk rumah orang, tapi tidak tahu siapa. Jadi tiada yang baharu," katanya.

Seorang lagi pengguna, @haz_zyi mempersoalkan jumlah keseluruhan pelarian di Malaysia serta nasib mereka yang belum berdaftar.

Pengguna @mrrrasyraf pula menggesa kawalan sempadan diperketat bagi mengekang kemasukan pencari suaka baharu atas pertimbangan keselamatan dan kedaulatan negara.

+ - reset