TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar maut di sekolah: CCTV berfungsi, beberapa pentadbir, guru diberi pelepasan tugas sementara - KPM

By
|
Kongsi
image

 

IPOH 19 Nov – Beberapa pentadbir dan guru di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga, semalam.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius kejadian itu dan tidak akan berkompromi sekiranya siasatan menemukan kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan.

Beliau turut mengarahkan kementerian memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh dan telus.

Menurutnya, perbincangan telah diadakan dengan pihak berkaitan, manakala Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh sudah ke lokasi untuk menyelaras tindakan segera.

Fadhlina berkata, kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian disahkan berfungsi dengan baik dan rakamannya telah diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan.

“Saya turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah esok (hari ini) untuk meneliti aspek pengurusan dan pematuhan tatacara keselamatan.

“Bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan akan dibenarkan pulang pada Jumaat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook lewat malam tadi.

Dalam masa sama, beliau meminta semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta menghormati keluarga mangsa.

“Saya menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa. Berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.

“Semoga keluarga mangsa terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Fadhlina turut menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan bantuan psikososial sudah diberikan kepada mereka yang terkesan.

Semalam, JPN Perak mengesahkan seorang murid Tingkatan Tiga ditemukan maut di sebuah sekolah di negeri berkenaan.

Mayat pelajar terbabit dihantar ke Hospital Taiping dan dijadualkan menjalani bedah siasat pada jam 9 pagi ini. 

+ - reset