TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Honor Walk' terakhir buat Muhammad Aidil

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 19 NOVEMBER - Warga kerja Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian mengadakan penghormatan terakhir atau 'Honor Walk' bagi menghargai jasa Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, yang tampil sebagai penderma organ.

Dalam suasana penuh hiba awal pagi tadi, kakitangan perubatan serta kenalan Allahyarham berbaris di sepanjang laluan hospital bagi mengiringi perjalanan terakhir jenazah sebelum proses perolehan organ dilaksanakan.

Sebagai simbolik penghargaan dan solidariti terhadap kemuliaan usaha pendermaan organ berkenaan, pihak pengurusan HPUSM turut menyalakan lampu berwarna hijau di bangunan hospital tersebut.

Difahamkan, prosedur pembedahan perolehan organ itu bermula pada pukul 10.45 malam tadi dan selesai sepenuhnya sekitar pukul 1 pagi.

Terdahulu, Allahyarham yang bertugas di sebuah kafe di bandar ini dimasukkan ke HPUSM bagi menerima rawatan lanjut susulan kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya, sebelum disahkan mengalami kematian otak (brain death).

Sementara itu, wakil keluarga Allahyarham yang dikenali sebagai Siti Hawa menerusi hantaran di laman sosial Facebook memaklumkan bahawa pihak keluarga telah mencapai kata sepakat untuk memberi kebenaran kepada pasukan perubatan menjalankan prosedur itu selepas menerima penjelasan terperinci daripada pakar perubatan.

Menurutnya, penjelasan doktor mengenai konsep kematian otak membantu pihak keluarga memahami situasi sebenar bahawa Allahyarham tidak lagi mampu bernafas secara semula jadi tanpa bantuan mesin sokongan hayat, meskipun organ dalamannya yang lain masih berfungsi dengan baik.

"Kes adik saya ini merupakan satu dalam 10,000. Justeru, kami sekeluarga reda dan bersetuju mendermakan beberapa organ Allahyarham sebagai amal jariah yang berterusan buatnya," katanya menerusi hantaran berkenaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham akan dikebumikan hari ini selepas semua urusan berkaitan selesai dilaksanakan, sambil memohon orang ramai agar terus mendoakan kesejahteraan roh adiknya.

+ - reset