Berita Berita
'Ada tiga anak lagi juga dalam bidang perbuatan' - Ibu bedah mata, anak kendali bius di HPUSM
KOTA BHARU 19 Nov – Seorang ibu menjalankan pembedahan mata, manakala anak sulungnya mengendalikan pembiusan apabila tuntutan tugas menemukan dua beranak itu di bilik pembedahan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.
Bagi pakar mata kanak-kanak, Prof Dr Shatriah Ismail, 56, peluang bertugas bersama anaknya, Dr Nik Luqmanul Hakim Nik Ahmad Zuky, 31, menjadi pengalaman cukup bermakna dalam perjalanan kerjayanya.
Anak sulungnya itu berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Anestesiologi hospital sama.
Shatriah berkata, peluang bekerjasama itu memberikan kegembiraan kepadanya memandangkan jadual tugas pakar perubatan lazimnya ditentukan mengikut giliran dan kepakaran masing-masing.
"Walaupun kami mempunyai bidang kepakaran dan tanggungjawab berbeza, namun peluang bekerja di bawah satu bumbung selain sesekali bekerjasama dalam prosedur pembedahan menjadi satu pengalaman cukup bermakna.
"Saya menjalankan prosedur pembedahan mata, sementara anak pula bertanggungjawab mengendalikan pembiusan serta memastikan keselamatan pesakit bawah pengawasan Pakar Anestesiologi sepanjang prosedur berlangsung.
"Keadaan ini bukan sahaja membolehkan kami memahami tuntutan serta cabaran kerjaya masing-masing, malah secara tidak langsung mewujudkan ruang untuk saling berkongsi pengalaman, pengetahuan dan pandangan dalam bidang perubatan," katanya.
Menurutnya, meskipun memikul peranan berbeza, mereka mempunyai matlamat sama untuk memberikan rawatan terbaik kepada pesakit serta memastikan setiap prosedur berjalan lancar dan selamat.
"Kepakaran dalam bidang oftalmologi, khususnya rawatan mata juling, memerlukan ketelitian serta pengalaman bagi membantu pesakit meningkatkan fungsi penglihatan sekali gus memperbaiki kualiti hidup mereka.
"Dalam pada itu, tugas anak saya sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Anestesiologi pula menuntut tahap profesionalisme, ketenangan dan kecekapan yang tinggi bagi memastikan keselamatan pesakit sentiasa terpelihara sebelum, semasa dan selepas pembedahan," katanya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu menegaskan, pertalian keluarga tidak mengatasi profesionalisme ketika mereka menjalankan tanggungjawab di hospital.
"Apabila berada di tempat kerja, kami perlu bersikap profesional dan mengetepikan perasaan peribadi bagi memastikan setiap tugasan, khususnya berkaitan rawatan serta prosedur pembedahan, dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat demi kepentingan pesakit," katanya.
Shatriah turut melahirkan rasa syukur apabila anak yang dahulunya dihantar ke sekolah kini sudah dewasa dan berpeluang berkhidmat bersama-samanya.
"Situasi ini adalah satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan, apatah lagi apabila dapat melihat anak turut mengikuti jejak langkah dalam bidang perubatan," katanya.
Selain anak sulungnya, tiga lagi anak Shatriah turut menceburi bidang perubatan.
Beliau berkata, Dr Syamim Firdaus, 30, sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang kepakaran Obstetrik dan Ginekologi (O&G).
"Dr Nik Zahid Asyraf, 25, baharu sahaja menamatkan pengajian dalam bidang perubatan, manakala anak bongsunya, Nik Aimi Munirah, 23, masih mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di universiti awam di Malaysia," katanya.
Berita berkaitan
November 19, 2026, 1:10 pm
'Honor Walk' terakhir buat Muhammad Aidil
November 19, 2026, 12:32 pm
UNHCR henti pendaftaran pelarian, Imigresen ambil alih secara berperingkat
November 19, 2026, 12:06 pm
‘Tak ada satu pun cerita yang ditokok tambah’ – Puteri Balqis ada dokumen 20 muka surat bukti, video
November 19, 2026, 11:28 am
Cuba lari selepas kereta ditahan, lelaki maut berbalas tembakan dengan polis di Ipoh
November 19, 2026, 9:43 am
Pelajar maut di sekolah: CCTV berfungsi, beberapa pentadbir, guru diberi pelepasan tugas sementara - KPM
November 18, 2026, 10:06 pm
1,200 sekolah di Zon 9 terima bekalan 100 peratus susu segar menerusi PSS
November 18, 2026, 9:26 pm
Pelajar lelaki Tingkatan Tiga ditemukan maut di SBP Kuala Kangsar
November 18, 2026, 8:36 pm
