TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Dedahkan juga minit pengampunan Anwar, jangan pilih kasih' – Wan Saiful

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencadangkan minit penuh mesyuarat yang membawa kepada pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dinyahklasifikasikan, susulan polemik penyebaran dokumen pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, ketelusan perlu dilaksanakan secara adil dan tidak memilih pihak, termasuk terhadap minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-51 pada 16 Mei 2018.

Menurutnya, pendedahan dokumen berkaitan Najib ketika ini menimbulkan persoalan mengenai prinsip ketelusan serta bagaimana minit mesyuarat berkenaan boleh tersebar.

“Bagaimana pula dengan minit penuh Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-51 pada 16 Mei 2018 yang membawa kepada pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim? Mengapa minit mesyuarat itu tidak turut didedahkan kepada umum?

“Saya mencadangkan supaya minit penuh mesyuarat tersebut juga dinyahklasifikasikan. Kalau benar kita mahu ketelusan, biarlah semuanya terbuka dan tidak hanya melibatkan satu pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful turut mempersoalkan mengapa dokumen pengampunan Anwar tidak mendapat perhatian sama seperti minit mesyuarat membabitkan Najib.

Persoalan itu dibangkitkan ketika penularan dokumen berkaitan pengampunan Najib mencetuskan desakan supaya siasatan dan tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkannya.

Kontroversi berkenaan tercetus selepas bekas Ahli Parlimen, Tony Pua berkongsi beberapa halaman dokumen yang didakwa sebagai petikan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) mengenai permohonan tahanan rumah Najib.

Dokumen yang dikaitkan dengan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 pada 18 September itu dilaporkan menunjukkan perbezaan pandangan dalam kalangan anggota lembaga.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib. 

+ - reset