TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ali XPDC perlu jalani pembedahan jantung segera, tak mampu tanggung kos rawatan lebih RM50,000

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Nov – Keadaan penyanyi Ali XPDC dilaporkan semakin stabil selepas dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) akibat dipercayai mengalami sesak nafas.

Anaknya, Wan Aliuddin Aqiel atau Aqiel, berkata doktor menghubunginya malam tadi untuk memaklumkan bahawa paras oksigen bapanya sudah stabil.

"Alhamdulillah... keadaan baba sekarang dah stabil. Malam tadi baru dapat call dari doktor maklum oksigen baba sudah stabil."

Aqiel berkata, dia bersyukur keadaan bapanya bertambah baik hari ini, termasuk apabila air dalam paru-paru mula keluar secara normal.

"Berkat doa semua keadaan baba semakin stabil, dan mungkin baba akan dipindahkan ke wad biasa petang ini. Terima kasih semua," katanya.

Terdahulu, rakan Ali yang juga usahawan, Ejay Da'ie, memaklumkan menerusi satu hantaran bahawa kesihatan penyanyi itu merosot sejak tiga hingga empat hari lalu dan dia mengalami sesak nafas.

Ejay berkata, dia nekad membawa Ali ke hospital selepas melihat keadaan rakannya agak kritikal. Menurutnya, Ali memerlukan pembedahan jantung segera dan pihaknya memohon sumbangan orang ramai untuk menampung kos rawatan.

"Kos rawatan itu memang banyak, tinggilah, tapi Alhamdulillah ada ramai tampil membantu selepas saya buat 'posting' (hantaran) semalam. Jumlah kutipan sekarang dekat RM50,000, tapi kami perlukan lagi.

"Sebab rawatan di IJN kosnya agak tinggi. Kemungkinan dia akan buat stent dan juga belon, jadi kos naik lagi," katanya.

Menurut Ejay, Ali bergantung pada tawaran persembahan sebagai sumber pendapatan, namun keadaan kesihatannya menyukarkan penyanyi itu untuk bekerja.

"Saya cuba carikan show dan sekarang saya ambil dia untuk Havoc Food Festival. Untuk program ini, saya sudah atur untuk beberapa siri dalam setiap minggu.

"Tapi bila sakit, dia tak boleh nyanyi, jadi income dia pun 'sangkut'. Untuk seterusnya insya-Allah kita cuba bantu lagi," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun RHB 16228700028560 atas nama Mohd Ali Ismail.

+ - reset