TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hanya bersifat sementara, 132,400 pelarian etnik Rohingya direkodkan di Malaysia setakat September lalu - Saifuddin

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Nov – Seramai 227,414 pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia setakat 30 September lalu. Daripada jumlah itu, 205,273 orang atau 90.2 peratus berasal dari Myanmar, termasuk 132,400 etnik Rohingya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Selangor mencatat jumlah pemegang kad UNHCR tertinggi dengan 74,028 orang atau 33 peratus, diikuti Kuala Lumpur dengan 47,333 orang atau 21 peratus dan Pulau Pinang dengan 25,357 orang atau 11 peratus.

“Taburan ini merujuk kepada keseluruhan pemegang kad UNHCR dan bukan khusus kepada etnik Rohingya.

“Sementara itu, sehingga 31 Oktober lalu daripada keseluruhan 11,208 tahanan warganegara Myanmar di Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh Semenanjung, seramai 6,294 orang ialah etnik Rohingya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai jumlah warga Rohingya, kes jenayah, aduan pemalsuan kad UNHCR, lokasi penempatan serta langkah kerajaan mengurus golongan itu.

Menurut Saifuddin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 199 kes jenayah indeks membabitkan pelarian dari Myanmar bagi tempoh 2022 hingga Ogos lalu.

Bagi pemalsuan kad UNHCR, satu kes direkodkan di Kuala Lumpur membabitkan enam warganegara Myanmar. Kesemua mereka telah dituduh di mahkamah.

Saifuddin berkata, kerajaan menyelaras peranan 20 kementerian dan agensi menerusi Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No 23 (Semakan 2023). Kerangka itu meliputi kawalan sempadan, pendaftaran dan pengurusan pelarian yang sudah berada di negara ini serta penyelesaian jangka panjang.

Menerusi kerangka itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) pada 1 Januari 2026 untuk mengambil alih fungsi pendaftaran daripada UNHCR secara berperingkat. Program itu membolehkan kerajaan membangunkan pangkalan data biometrik rasmi yang merangkumi pengesahan identiti, profil keselamatan dan maklumat lokasi.

“Di bawah mekanisme DPP, pemegang Kad DPP yang diberikan Pas Khas di bawah Peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 tertakluk kepada syarat keberadaan dan kawalan pergerakan yang ditetapkan.

“Mereka hanya dibenarkan berada di negeri yang didaftarkan, manakala pergerakan ke negeri lain memerlukan kelulusan bertulis Pengarah Imigresen Negeri.

“Kad DPP bukan dokumen perjalanan dan tidak membenarkan pemegangnya memasuki Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sepanjang keberadaan sementara mereka di negara ini, pelarian di bawah Program DPP akan diberikan akses kepada perkhidmatan sosial secara terkawal bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih bermaruah hingga pengurusan akhir dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, pelarian yang dipadankan dengan pekerjaan menerusi Program Kebenaran Bekerja Pelarian perlu tinggal di penginapan pekerja berpusat (CLQ). Program yang diselaraskan KDN dan MKN itu menetapkan syarat berkenaan bagi memudahkan pemantauan penempatan serta pematuhan.

Pemegang Kad DPP yang melanggar undang-undang atau syarat program boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk pembatalan pas dan pengusiran mengikut proses undang-undang.

“Program DPP tidak memberikan taraf pemastautin tetap dan bukan laluan kepada kewarganegaraan Malaysia. Bagi mengelakkan program ini menjadi faktor tarikan kepada kemasukan baharu, hanya mereka yang sudah berada dalam negara sebelum 1 Januari 2023 layak dipertimbang untuk menyertai Program DPP.

“Pelarian atau pemohon suaka yang masuk secara tidak sah selepas tarikh itu tidak akan dipertimbang di bawah program ini dan tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan imigresen,” katanya.

Saifuddin berkata, keberadaan pelarian di Malaysia bersifat sementara. Kerajaan menetapkan tiga bentuk penyelesaian, iaitu penempatan semula di negara ketiga, penghantaran pulang ke negara asal dan pengusiran mengikut undang-undang.

“Dalam merangka dan melaksanakan pengurusan akhir itu, KDN akan terus membantu dan memberikan kerjasama erat kepada kementerian serta agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian.

“Segala langkah ini dilaksanakan dengan mengutamakan keselamatan negara, kedaulatan undang-undang serta kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.

+ - reset