TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penglibatan anggota TUDM dalam sindiket dadah pengkhianatan serius amanah rakyat – Lam Thye

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 20 Nov. – Dakwaan pembabitan lima anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam sindiket pengedaran dadah yang menyalahgunakan fasiliti penerbangan tentera merupakan satu pelanggaran serius terhadap amanah rakyat yang menuntut tindakan segera.

Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kes membabitkan rampasan 96.64 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta itu menimbulkan persoalan asas berhubung tahap integriti, disiplin, akauntabiliti serta keberkesanan kawalan keselamatan dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini, insiden berkenaan amat membimbangkan memandangkan ia melibatkan anggota yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan negara serta kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kemudahan ketenteraan bagi kegiatan jenayah.

Justeru, beliau menggesa agar satu siasatan menyeluruh, bebas, dan telus dijalankan bagi mengenal pasti dalang utama, mengesan sumber kewangan sindiket, serta menyiasat sekiranya terdapat anggota keselamatan lain yang turut bersubahat tanpa melindungi mana-mana pihak atas dasar pangkat atau kedudukan.

Selain itu, Lee menyarankan kerajaan supaya melaksanakan semakan komprehensif terhadap prosedur keselamatan di semua fasiliti tentera, khususnya melibatkan saringan kargo, kawalan akses, penyeliaan, dan pemantauan bagi menutup ruang penyalahgunaan kemudahan pengangkutan udara tentera.

Beliau turut menggesa Kementerian Pertahanan dan ATM mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap rasuah serta pengedaran dadah dengan memperkukuh pemantauan dalaman, pemeriksaan berkala, perlindungan pemberi maklumat, dan program pencegahan dadah bagi memelihara kredibiliti institusi pertahanan negara.

Terdahulu, media melaporkan seramai 11 individu termasuk lima pegawai TUDM ditahan dalam siri serbuan pada Selasa lalu selepas disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah ke Sabah menggunakan fasiliti ketenteraan, yang turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram syabu dan 6.98 kilogram cecair kimia. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset