TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Harimau belang ditembak mati selepas serang kakitangan Perhilitan di Kampung Bawong

By
|
Kongsi
image

IPOH, 20 Nov. – Seekor harimau belang yang dipercayai membaham seorang lelaki Orang Asli di Kampung Bawong di sini, terpaksa ditembak mati selepas haiwan liar itu bertindak menyerang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang sedang menjalankan operasi pemantauan, awal pagi semalam.

Perhilitan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, insiden tersebut berlaku kira-kira jam 1.30 pagi ketika anggotanya sedang melaksanakan kawalan keselamatan susulan kejadian serangan maut yang mengorbankan Ngah Itam, 65, pada Rabu lalu.

Menurut kenyataan itu, tembakan dilepaskan dari jarak kira-kira 10 meter sebagai langkah mempertahankan diri daripada ancaman haiwan pemangsa berkenaan, yang mengenai bahagian bahu kanan serta belakang leher harimau terbabit.

Haiwan tersebut sempat melarikan diri sebelum berjaya dijejaki semula oleh pasukan operasi dan karkasnya ditemukan kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian sebelum dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk tujuan bedah siasat.

Pemeriksaan fizikal awal ke atas karkas berkenaan mendapati taring bawah sebelah kiri haiwan itu telah tiada manakala taring lain berada dalam keadaan tumpul, selain terdapat kesan luka lama pada bahagian kanan perutnya.

Terdahulu, pada 18 November lalu, mangsa dilaporkan diserang ketika keluar mencari buluh di kawasan hutan berhampiran sempadan Hutan Simpan Kekal (HSK) Piah sebelum mayatnya ditemukan pada jam 5.55 petang dengan kesan gigitan di bahagian tengkuk serta kecederaan parah pada kaki kanan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perhilitan telah mengadakan pertemuan dengan waris mangsa bagi menyelaraskan permohonan Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar, di samping menasihatkan penduduk setempat agar mengelakkan aktiviti bersendirian di kawasan hutan pada waktu awal pagi dan lewat petang. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset