Berita Berita
Bagasi tanpa pelekat saringan bongkar cubaan seludup 96.6kg syabu di Pangkalan Udara Subang
KUALA LUMPUR, 20 Nov. – Tindakan pantas anggota bertugas yang menyedari kewujudan lima buah beg tanpa pelekat saringan keselamatan berjaya membongkar cubaan penyeludupan dadah seberat 96.6 kilogram (kg) di Pangkalan Udara Subang, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Selasa lalu.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, bagasi yang dibalut plastik bersama sebuah kotak mengandungi enam botol berlabel baja kimia itu ditemukan oleh seorang anggota Cawangan Pergerakan Udara yang sedang menjalankan rondaan rutin berhampiran kawasan ketibaan dan tuntutan bagasi.
Menurutnya, imbasan mesin pengimbas oleh anggota unit Pertahanan Udara dan Darat (HANDAU) TUDM kemudiannya mengesan bungkusan mencurigakan yang disusun rapi di dalam kesemua beg tersebut.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati seorang pegawai yang merupakan sebahagian daripada kru penerbangan logistik dipanggil untuk membuka beg berkenaan, namun didakwa cuba mengelak dengan mahu memulangkan semula bagasi itu ke dalam keretanya selepas dimaklumkan ia tidak melepasi saringan keselamatan.
Bagaimanapun, anggota HANDAU bertegas menghalang tindakan tersebut sebelum membantu membuka beg berkenaan menggunakan pisau, yang membawa kepada penemuan bungkusan merah berisi bahan kristal disyaki dadah.
Penemuan itu segera dilaporkan kepada Cawangan Siasatan Jenayah Zon Tengah serta pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang mengesahkan bahan berkenaan positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine, dan MDMA hasil ujian saringan awal di lokasi.
Susulan insiden itu, dua pegawai ditahan di Pangkalan Udara Subang manakala seorang lagi ditahan di Pangkalan Udara TUDM Labuan pada hari sama bagi membantu siasatan, selain tiga lagi pegawai dan sembilan anggota lain pangkat termasuk daripada unit HANDAU, provos, dan kru udara turut dipanggil memberi keterangan.
Terdahulu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM dalam operasi menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menyalahgunakan aset ketenteraan ke Sabah itu. — Media Telus
Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube
Berita berkaitan
November 20, 2026, 11:33 pm
'Saya hormat solat Jumaat' - Khoo Poay Tiong hanya bimbang arahan jejas peniaga bukan Islam di Kuala Terengganu
November 20, 2026, 10:03 pm
Kematian pelajar SBP Kuala Kangsar: CCTV tak tunjuk unsur buli, polis selesai rakam keterangan 41 saksi
November 20, 2026, 8:55 pm
Modal niaga dari RM5,000, Agrobank buka peluang kepada usahawan mikro India
November 20, 2026, 8:28 pm
Makin ramai, TUDM sahkan 5 pegawai, 2 anggota ditahan susulan penemuan 96.6 kg disyaki dadah di Subang
November 20, 2026, 5:33 pm
Khoo Poay Tiong suarakan kebimbangan impak arahan penutupan premis waktu solat Jumaat ke atas bukan Islam
November 20, 2026, 5:17 pm
Kemenangan untuk balu, mahkamah batal saman ibu mentua, abang ipar tuntut hibah RM1 juta
November 20, 2026, 5:13 pm
