TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua beradik ditemukan rentung berpelukan dalam kebakaran di Sik

By
|
Kongsi
image

SIK, 21 Nov. – Dua beradik maut dalam keadaan rentung dan ditemukan berpelukan di atas tilam susulan kebakaran membabitkan sebuah bangunan pejabat yang dijadikan kediaman di Kampung Teloi Tua di sini, awal pagi tadi.

Mangsa dalam kejadian menyayat hati itu membabitkan seorang bayi perempuan berusia 16 bulan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

Timbalan Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Bryan Del Bungkias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.11 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik ke lokasi kejadian.

Menurutnya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini, kebakaran berkenaan berjaya dikawal oleh pasukan penyelamat kira-kira lima minit selepas tiba di tempat kejadian.

Jelas beliau, premis yang terbabit merupakan sebuah bangunan satu ruang pejabat beserta bilik air di bahagian luar, dan identiti kedua-dua mangsa masih dalam proses pengesahan lanjut.

Mengulas mengenai punca kejadian, Bryan memaklumkan bahawa siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari bangunan berhampiran memandangkan premis yang terbakar tidak dilengkapi sistem pemantauan tersebut.

Tambah beliau, setakat ini tiada kaitan dikenal pasti antara kebakaran itu dengan tong gas di kawasan berhampiran kerana pusat penyimpanan gas petroleum cecair (LPG) terletak agak jauh di bangunan berasingan, namun pihaknya masih belum dapat mengesahkan sama ada terdapat aktiviti memasak di dalam premis berkenaan sebelum kejadian berlaku. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset