TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Baru enam bulan bebas penjara, lelaki dicekup jadi 'transporter' lapan PATI Myanmar di Tumpat

By
|
Kongsi
image

TUMPAT, 22 Nov. – Baru enam bulan dibebaskan dari penjara, seorang lelaki kembali terjebak dalam kegiatan jenayah apabila dipercayai menjadi ejen pengangkut atau transporter bagi membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar.

Kegiatan suspek berusia 34 tahun itu bagaimanapun terbongkar apabila dia ditahan kira-kira jam 5 pagi tadi selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandunya terbabas ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Pak Keral menghala ke Jalan Tali Air, Kampung Neting, di sini.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek yang menyedari kehadiran anggota Task Force Batalion 7 PGA yang sedang menjalankan Ops Taring Wawasan Kelantan bertindak memecut kenderaannya sebelum terbabas di bahu jalan di hadapan sebuah sekolah.

Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, suspek turut cuba melarikan diri selepas diarahkan keluar dari kenderaan berkenaan, namun berjaya diberkas oleh anggota bertugas.

Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan terbabit menemukan lapan warga Myanmar terdiri daripada tiga lelaki, empat wanita serta seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan yang kesemuanya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kegiatan membawa migran secara sambilan sejak bulan ini dan mendakwa penghantaran tersebut merupakan kali pertama dilakukannya menggunakan kereta sewa dengan upah sebanyak RM450 bagi setiap perjalanan daripada seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali.

Tambah Ahmad Radzi, kesemua PATI berusia antara sembilan bulan hingga 31 tahun itu dipercayai memasuki negara ini secara haram melalui Pantai Geting, Tumpat menerusi khidmat ejen dari Myanmar dengan bayaran antara RM6,000 hingga RM10,000 seorang.

Mereka dijadualkan untuk dihantar ke Stesen Bas Melor, Pasir Mas sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Dalam operasi tersebut, PGA turut merampas kereta Perodua Myvi bernilai kira-kira RM25,000, lapan unit telefon bimbit (RM8,000) serta wang tunai RM100 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM33,100 sebelum kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset