TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

12 'mak nyah' ditahan sertai pertandingan Ratu Pondan di Pulau Bum-Bum

By
|
Kongsi
image

SEMPORNA, 20 Nov. – Seramai 12 individu berusia antara 14 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) kerana berpakaian menyerupai wanita di Kampung Hidayat 2, Pulau Bum-Bum di sini, awal pagi tadi.

Penahanan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan penganjuran sebuah pertandingan Ratu Pondan berdasarkan maklumat awal yang diterima pihak berkuasa berhubung aktiviti berkenaan.

Pegawai JHEAINS Semporna, Mohd Juseph Ahmad Kapala berkata, operasi yang berlangsung dari jam 11 malam hingga 3 pagi itu diketuai beliau bersama lima pegawai jabatan berkenaan dengan kerjasama 11 anggota polis dari Balai Polis Pulau Bum-Bum.

Menurut beliau menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi JHEAINS Semporna hari ini, kesemua 12 individu yang ditahan itu dibawa untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

Hasil semakan mendapati empat daripada individu yang ditahan merupakan warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, manakala selebihnya adalah pemegang dokumen pelarian IMM13 dan kad pengenalan Malaysia.

Dalam serbuan yang sama, pihak berkuasa turut merampas beberapa barangan yang disyaki berkaitan dengan penganjuran pertandingan berkenaan, termasuk piala, sijil, serta hamper.

Operasi bersepadu antara JHEAINS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dilaksanakan bagi memastikan pematuhan serta penguatkuasaan undang-undang di daerah tersebut terus terpelihara. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset