TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiga remaja ditahan langgar anggota JPJ hingga cedera ketika 'road block'

By
|
Kongsi
image

 

MIRI 23 Nov – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera selepas dilanggar sebuah Perodua Kancil yang dipercayai gagal mematuhi arahan berhenti ketika Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Piasau, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, kereta terbabit dipercayai dipandu laju dan melawan arus menuju ke Jalan Piasau Camp.

Katanya, kereta itu melanggar anggota JPJ berkenaan ketika mangsa sedang membantu tindakan penguatkuasaan di sekatan jalan raya.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam pada mata kanan serta tangan kanan dan menerima rawatan di Hospital Miri.

“Keadaan anggota terbabit dilaporkan stabil,” menurut Mohd Farhan menerusi kenyataan.

Beliau berkata, polis kemudian mengesan dan menahan kereta itu di sekatan jalan raya di Jalan Piasau Camp.

Pemandu berusia 17 tahun ditahan bersama dua penumpang, iaitu seorang lelaki berusia 19 tahun dan seorang perempuan berusia 18 tahun.

“Siasatan awal mendapati pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu dan dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

“Polis turut merampas kereta Perodua Kancil yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya.

Saringan air kencing ketiga-tiga suspek didapati negatif, manakala semakan polis mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga suspek direman selama empat hari sehingga 26 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

+ - reset