Berita Berita
Angkara curi kabel, 720 lampu jalan rosak di Putrajaya, Cyberjaya - Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR 23 Nov – Sebanyak 450 daripada 706 lampu jalan di Jalan Lingkaran Putrajaya (FT30) tidak berfungsi, dengan kebanyakan kerosakan berpunca daripada kecurian kabel.
Di Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya (FT29) pula, 270 lampu jalan tidak berfungsi, menjadikan jumlah keseluruhan di kedua-dua laluan Persekutuan itu 720 unit.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata selain kecurian kabel, kerosakan lampu jalan di kedua-dua laluan itu turut berpunca daripada faktor jangka hayat lampu dan kemalangan.
“Penguatkuasaan curi kabel ini melibatkan polis, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT). Kedai besi buruk ini mereka membeli. Kalau mereka tak beli, tak adalah orang nak jual dan curi kabel.
“Jadi dua-dua perkara ini, pencuri kabel dan pembeli kabel yang dicuri itu perlu diambil tindakan dan penguatkuasaan perlu diadakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin, mengenai langkah menangani masalah lampu jalan yang kerap tidak berfungsi akibat kecurian kabel di FT29 dan FT30.
Menurut rekod Kementerian Kerja Raya (KKR), FT29 mempunyai 812 lampu jalan konvensional dan 291 lampu solar, manakala kesemua 706 lampu jalan di FT30 ialah jenis konvensional.
“Pada Mac 2026, permohonan peruntukan sebanyak RM780,000 telah diangkat bagi tujuan membaik pulih kerosakan lampu jalan di FT 29 dan FT 30 diakibatkan oleh insiden kecurian kabel.
“Walau bagaimanapun, berasaskan keutamaan peruntukan, kelulusan bagi kerja pembaikan laluan berkenaan disusun semula untuk fasa pelaksanaan seterusnya,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Maslan berkata kerajaan memperuntukkan RM35.25 juta tahun ini untuk memasang lampu jalan konvensional dan solar di 379 lokasi di seluruh negara.
Pada 2027, lebih RM30 juta dijangka disediakan bagi tujuan sama di lebih 300 lokasi.
Katanya, pemasangan lampu solar diberi keutamaan di kawasan yang terdedah kepada vandalisme, kawasan kampung dan lokasi yang jauh daripada rangkaian bekalan elektrik.
Berita berkaitan
November 23, 2026, 4:06 pm
PAC dedah aduan isu kewangan UKMShape diabaikan selama 8 bulan, yuran pelajar dikutip tanpa kebenaran
November 23, 2026, 3:38 pm
Imigresen siasat sekumpulan warga asing selamba ceroboh bukit di Kajang jadikan kawasan riadah
November 23, 2026, 2:23 pm
Menteri Sabah berjahit kepala selepas tergelincir di tandas KLIA
November 23, 2026, 1:44 pm
Bekas anggota polis dakwa jadi mangsa kekerasan tidak jadi saman Shuhaily
November 23, 2026, 12:32 pm
DAP jangan selesa sangat, perlu strategi lebih berani hadapi PRU pertahan Selangor – Loke
November 23, 2026, 11:13 am
Budak setahun hilang ketika bermain depan rumah ditemukan selamat dalam ladang getah di Kuala Krai
November 23, 2026, 10:41 am
Tiga remaja ditahan langgar anggota JPJ hingga cedera ketika 'road block'
November 23, 2026, 10:17 am
