TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Menteri Sabah berjahit kepala selepas tergelincir di tandas KLIA

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 23 Nov – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, menerima jahitan di kepala selepas tergelincir di tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.

Jamawi menerusi hantaran di Facebook berkata, kepalanya terhantuk pada lantai selepas terjatuh di tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di kawasan menunggu VIP.

“Sebenarnya, ia kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di kawasan menunggu VIP KLIA.

“Lantai tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhantuk pada lantai,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, beberapa kenalan yang terserempak dengannya di lapangan terbang ketika kepalanya berbalut tuala berdarah turut menghubunginya untuk bertanya mengenai kejadian itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat di Menara Medical Clinics KLIA yang merawat serta menjahit luka di kepalanya.

Susulan kejadian itu, Jamawi menasihatkan Malaysia Airports supaya menambah baik keadaan lantai tandas dan laluan kecemasan ke klinik berhampiran.

Beliau turut mencadangkan agar kakitangan lapangan terbang diberi latihan sewajarnya supaya mereka dapat memberikan bantuan kecemasan dengan segera.

Jamawi dijadualkan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu pada jam 1.05 tengah hari selepas selesai lawatan kerja di Brasilia, Brazil.

+ - reset