TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

DAP jangan selesa sangat, perlu strategi lebih berani hadapi PRU pertahan Selangor – Loke

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 23 Nov – DAP perlu merangka strategi lebih kreatif dan berani untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selepas penyatuan undi dua gabungan lawan dilihat berkesan dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN), kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.

Beliau berkata, keputusan kurang memberangsangkan dalam beberapa PRN wajar dijadikan iktibar supaya semua pihak, termasuk pimpinan parti, tidak terlalu selesa dengan kedudukan semasa.

“Mereka menyatukan undi mereka, satukan undi dua gabungan, tidak kira apa pencapaian tetapi apabila undi itu disatukan bermain dengan sentimen, asalkan bukan DAP dalam kerajaan... sentimen ini suka tidak suka, berkesan terutama di (PRN) Melaka dan Negeri Sembilan.

“Ini percaturan yang sedang dimainkan, yang mesti kita sedar, tahu dan mesti ada perancangan untuk kita menghadapi cabaran-cabaran ini,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen DAP Selangor di sini hari ini.

Loke turut mendakwa terdapat gerakan dalam kalangan ahli dan penyokong parti tertentu untuk menukar pusat mengundi di Selangor. Menurutnya, langkah itu bertujuan menyatukan undi bagi menumbangkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan.

“Ini strategi yang dirancang dan cabaran besar kepada PH Selangor dan kita mesti cari jalan, fokus bagaimana kita nak bergerak. Justeru adalah sangat penting bagaimana kita memberikan inspirasi kepada pengundi Selangor bahawa PH adalah pilihan terbaik untuk meneruskan kepimpinan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, perancangan menghadapi pilihan raya perlu mengambil kira kekuatan sebenar di setiap kawasan dan perubahan landskap pengundian.

Loke turut mengingatkan bahawa kegagalan mempertahankan Selangor akan menyebabkan parti kehilangan kedudukan dalam kerajaan negeri serta menjejaskan kesinambungan pencapaian pentadbiran sejak 2008.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han mencadangkan supaya persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan di negeri itu berikutan jurang bilangan pengundi antara kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ambil contoh DUN saya sendiri, Kinrara ada 134,016 pengundi, Sungai Air Tawar ada 20,336 pengundi. Pengundi Kinrara lebih enam kali ganda. Sebab itu, kerusi DUN Selangor mesti ditambah, rakyat bertambah, wakil rakyat pun mesti bertambah,” katanya.

+ - reset