Berita Berita
PAC dedah aduan isu kewangan UKMShape diabaikan selama 8 bulan, yuran pelajar dikutip tanpa kebenaran
KUALA LUMPUR 23 Nov – Aduan berhubung ketidakaturan tadbir urus kewangan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape) tidak diambil tindakan selama lapan bulan oleh pentadbiran terdahulu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menurut Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata siasatan dalaman hanya dimulakan selepas kepemimpinan baharu universiti mengambil alih. Pengabaian aduan itu antara 10 rumusan prosiding PAC mengenai kutipan hasil yuran dan perbelanjaan UKM yang berlangsung dari 29 Jun hingga 16 Julai lalu.
PAC turut mendapati perjanjian antara UKM dan Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) untuk mengendalikan program Sarjana Pendidikan (SPEND) dan Diploma Pengurusan Lepasan Ijazah (DLPI) tidak mematuhi tatacara perolehan kerajaan.
Mas Ermieyati berkata perjanjian itu turut melanggar Perlembagaan UKM kerana tidak mendapat kelulusan rasmi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan Kementerian Kewangan (MoF).
"KSSB juga mengutip yuran pengajian secara terus daripada pelajar tanpa sebarang mandat sah, selain hasil berkenaan disimpan sebagai sebahagian agihan kasar dan tidak direkodkan dalam akaun UKM, sekali gus menyebabkan pendapatan universiti menjadi terkurang nyata mengikut piawaian perakaunan awam.
"Berlaku kegagalan fungsi semak dan imbang di peringkat LPU kerana meluluskan perjanjian atau kertas kerja dengan anggapan saringan rapi sudah dibuat di peringkat bawahan, selain sering bergantung kepada kehadiran wakil MoF dalam mesyuarat tanpa memastikan kelulusan rasmi diperoleh terlebih dahulu.
"Terdapat pendedahan Pejabat Penasihat Undang-undang (PUU) UKM menerima tekanan berterusan termasuk tawaran wang tunai dan tajaan percutian luar negara untuk bekerja hujung minggu bagi memotong giliran semakan undang-undang ke atas kontrak," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata PAC turut mengenal pasti konflik kepentingan apabila pegawai UKM memegang jawatan utama dalam KSBB tanpa kebenaran bertulis ketua jabatan. Katanya, nama pegawai terbabit disembunyikan dalam dokumen asal ketika PUU menjalankan semakan.
Satu lagi konflik kepentingan membabitkan lori promosi bergerak UKMShape yang didaftarkan atas nama syarikat milik anak kandung bekas pengarah pusat berkenaan.
PAC turut membangkitkan konflik kepentingan dalam Jawatankuasa Siasatan Dalaman UKM kerana panelnya dilantik terus oleh Naib Canselor. Skop siasatan pula hanya menyasarkan pegawai bawahan dan tidak melibatkan pemutus dasar utama.
Sebelum ini, Laporan Audit Ketua Negara Siri 1/2026 mendedahkan bayaran kad kredit korporat UKMShape berjumlah RM107,907 membabitkan enam individu yang tidak layak kerana tiada maklumat seperti nombor pekerja atau tiada rekod dalam sistem maklumat kakitangan UKM.
"KSSB sudah memfailkan saman sivil menuntut RM2.49 juta di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Mei 2026, manakala UKM memfailkan tuntutan balas menuntut tunggakan yuran RM3.44 juta serta mengeluarkan Notis Pihak Ketiga terhadap bekas Pengarah UKMShape dan Pengerusi KSBB untuk menanggung liabiliti.
"Bagi mengatasi isu tadbir urus, UKM menarik balik status Unit Perniagaan Strategik UKMShape dan mengembalikannya sebagai Pusat Tanggungjawab biasa yang tertakluk sepenuhnya kepada peraturan kewangan Perbendaharaan, selain melaksanakan intervensi bagi memantapkan tadbir urus pengurusan kewangan," katanya.
Mas Ermieyati berkata PAC mengemukakan 10 syor utama, termasuk meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UKM menyediakan saluran aduan yang telus di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. PAC turut mengesyorkan tempoh mandatori untuk menyiasat setiap aduan supaya tindakan boleh diambil tanpa menunggu pertukaran kepemimpinan universiti.
PAC turut mengesyorkan memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) yang mempunyai implikasi kewangan dan dasar mendapat kelulusan LPU, KPT dan MoF sebelum dimeterai.
"Menghentikan kutipan yuran oleh pihak ketiga. KPT dan semua universiti awam (UA) perlu melarang entiti atau syarikat luar mengutip yuran pengajian, sebaliknya semua kutipan hasil perlu dimasukkan terus ke akaun rasmi Jabatan Bendahari universiti secara berstatutori.
"LPU tidak boleh bertindak sekadar sebagai pengesah akhir, manakala wakil MoF dalam LPU perlu memainkan peranan proaktif menyemak pematuhan Pekeliling Perbendaharaan, sebelum cadangan diluluskan.
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu menyiasat dan mendakwa pihak terbabit dalam cubaan memberi suapan bagi memotong giliran fail semakan di Pejabat PUU, selain tindakan tegas perlu diambil ke atas sebarang konflik kepentingan, termasuk salah guna aset membabitkan syarikat milik keluarga pegawai universiti," katanya.
Beliau berkata UKM dan KSBB juga perlu menjalankan audit pelarasan akaun secara telus untuk menentukan baki sebenar tuntutan kedua-dua pihak, di samping meneruskan tindakan undang-undang yang sedang berjalan.
"Ahli badan yang menyiasat kes ketakaturan serius akan datang perlu dilantik terus oleh LPU atau KPT, bukannya Naib Canselor dan skop siasatan wajib merangkumi rantaian arahan di peringkat pengurusan tertinggi.
"Aktiviti komersial UA perlu dipindahkan di bawah anak syarikat rasmi yang tertakluk kepada audit syarikat komersial, manakala universiti induk kekal tertakluk sepenuhnya kepada peraturan kewangan awam," katanya.
Berita berkaitan
November 23, 2026, 3:38 pm
Imigresen siasat sekumpulan warga asing selamba ceroboh bukit di Kajang jadikan kawasan riadah
November 23, 2026, 2:38 pm
Angkara curi kabel, 720 lampu jalan rosak di Putrajaya, Cyberjaya - Ahmad Maslan
November 23, 2026, 2:23 pm
Menteri Sabah berjahit kepala selepas tergelincir di tandas KLIA
November 23, 2026, 1:44 pm
Bekas anggota polis dakwa jadi mangsa kekerasan tidak jadi saman Shuhaily
November 23, 2026, 12:32 pm
DAP jangan selesa sangat, perlu strategi lebih berani hadapi PRU pertahan Selangor – Loke
November 23, 2026, 11:13 am
Budak setahun hilang ketika bermain depan rumah ditemukan selamat dalam ladang getah di Kuala Krai
November 23, 2026, 10:41 am
Tiga remaja ditahan langgar anggota JPJ hingga cedera ketika 'road block'
November 23, 2026, 10:17 am
