TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Shuhaily sahkan pegawai AKPS ditahan, disyaki jadi tali barut bawa masuk warga asing tanpa dokumen sah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 23 Nov – Tindakan seorang pegawai wanita Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang menyedari pegawai atasannya didakwa bertindak di luar prosedur membawa kepada penahanan pegawai berkenaan.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengesahkan pegawai itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah.

Beliau berkata AKPS akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membongkar kemungkinan wujudnya rangkaian penyeludupan migran yang lebih besar.

"Saya bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM dalam isu ini.

"Tangkap berapa ramai yang perlu ditangkap. Saya rasa rakyat Malaysia sudah cukup muak dengan kegiatan seperti ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa di Zoo Negara pada Isnin.

Mohd Shuhaily berkata kes itu perlu dipandang serius kerana berpotensi melibatkan kegiatan counter setting. Beliau enggan mengulas lanjut mengenai cara kegiatan itu dijalankan kerana siasatan masih berlangsung.

Beliau turut memuji pegawai wanita berkenaan dan menyifatkan keberaniannya sebagai titik permulaan kepada perubahan yang mahu dibawa dalam AKPS.

"Saya akan bertemu pegawai berkenaan dalam masa terdekat, untuk menyampaikan penghargaan atas keberanian dan integriti yang ditunjukkan.

"Keberanian seperti ini perlu dihargai dan dihormati kerana hanya memerlukan seorang individu untuk mengubah apa yang berlaku di lapangan. Beliau berani tampil walaupun berdepan cabaran dan saya akan berada di belakangnya,” katanya.

Pada 17 November lalu, seorang penjawat awam berusia 40-an ditahan selepas disyaki membawa masuk seorang wanita warga asing berusia 38 tahun tanpa dokumen perjalanan sah di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kes disiasat mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). 

+ - reset