TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu, dua anak maut MPV terbabas dalam perjalanan pulang hantar anak ke universiti

By
|
Kongsi
image

 

TANGKAK 23 Nov – Perjalanan pulang sebuah keluarga ke Johor Bahru selepas menghantar seorang anak ke universiti di Melaka berakhir dengan nahas yang meragut tiga nyawa, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun, pada Isnin.

Tiga lagi cedera dalam nahas membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena di Kilometer 159.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Jamellulkamal Abdul Halim, berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.15 petang.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dinaiki sebuah keluarga sedang dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru selepas menghantar salah seorang anak mereka ke sebuah universiti di Melaka.

"Kenderaan yang dinaiki kemudian hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang jalan lalu mengakibatkan tiga penumpang maut.

"Mereka yang meninggal dunia ialah seorang wanita berusia 49 tahun yang berada di tempat duduk hadapan serta dua kanak-kanak lelaki berusia 14 dan dua tahun yang duduk di bahagian belakang kenderaan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemandu MPV dan dua lagi penumpang cedera dalam nahas itu.

"Kesemua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, " ujarnya.

Jamellulkamal turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu dan mematuhi peraturan jalan raya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai nahas itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurhisyam Syafiq Mat Lopa, di talian 013-9825324 bagi membantu siasatan.

+ - reset