TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita maut dirempuh pemandu Tesla disyaki mabuk, langgar lampu merah di Kulim

By
|
Kongsi
image

KULIM, 24 Nov. – Seorang pekerja kilang wanita maut selepas kereta jenis Proton Saga FL yang dipandunya dirempuh sebuah kereta Tesla yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Jalan KHTP 1, berhampiran Simpang 4 Kilang Schott, di sini malam tadi.

Mangsa, Noor Lela Zainon, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan dua buah kenderaan itu daripada Unit Kereta Peronda (MPV) kira-kira jam 11.55 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati nahas berlaku pada jam 11.45 malam ketika kereta Tesla yang dipandu seorang jurutera lelaki berusia 29 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Lebuh Perdana menghala ke Naga Lilit, manakala mangsa datang dari arah Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) menuju ke Lebuh Perdana.

Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat tersebut dan ketika Proton Saga FL berkenaan sedang bergerak mengikut laluannya, kereta Tesla terbabit tidak berhenti ketika lampu isyarat merah lalu merempuh bahagian sisi sebelah kanan kenderaan mangsa.

Akibat rempuhan kuat itu, pemandu Proton Saga FL terbabit maut di tempat kejadian manakala pemandu Tesla berkenaan mengalami kecederaan pada tangan kanan.

Syamsul memaklumkan, pemandu Tesla terbabit disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan telah ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibawa menjalani ujian pengesanan alkohol ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.

Suspek akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tindakan lanjut. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset