Berita Berita
KKR teliti cadangan lebuh raya bertol baharu atasi kesesakan Lebuhraya Persekutuan – Alexander Nanta
KUALA LUMPUR, 24 Nov. – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang meneliti perancangan pembinaan lebuh raya bertol baharu sebagai salah satu langkah untuk mengatasi masalah kesesakan trafik di Lebuhraya Persekutuan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, buat masa ini kementerian telah menerima beberapa cadangan projek lebuh raya baharu daripada pihak swasta yang membabitkan sebahagian atau sambungan daripada jajaran Lebuhraya Persekutuan.
Menurutnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, cadangan tersebut akan diperincikan terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai pelan menyeluruh kerajaan menangani kesesakan di laluan berkenaan berikutan pertambahan kawasan kediaman dan komersial, selain cadangan pembinaan laluan bertingkat serta model pembiayaan pembangunan yang sesuai.
Alexander memaklumkan, berdasarkan bancian trafik tahun 2025 di stesen banci berhampiran Pejabat KEMAS Selangor, tahap perkhidmatan jalan Lebuhraya Persekutuan FT2 berada pada tahap LOS F, iaitu menunjukkan keadaan aliran trafik yang sangat sesak.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kementerian pada masa ini tidak bercadang melaksanakan kerja pelebaran lebuh raya atau pembinaan laluan bertingkat di koridor terbabit kerana melibatkan implikasi kos yang amat tinggi terutamanya bagi pengambilan balik tanah di kawasan pesat membangun, selain berpotensi memberi kesan sosial kepada penduduk dan pemilik premis.
Sehubungan itu, KKR mengambil pendekatan mengoptimumkan penggunaan rangkaian jalan raya sedia ada serta menggalakkan orang ramai memanfaatkan perkhidmatan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam (LRT3) yang menghubungkan Johan Setia ke Bandar Utama dengan kemudahan pertukaran ke Laluan Kelana Jaya di Glenmarie.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut meluluskan projek Menaik Taraf Tiga Persimpangan di Jalan Subang hingga Persiaran Jubli Perak (FT3214), Petaling dengan kos RM332 juta merangkumi pembinaan jejambat bagi menyediakan laluan alternatif dan mengurangkan beban trafik di sekitar Shah Alam. — Media Telus
Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube
Berita berkaitan
November 24, 2026, 9:51 am
Cubaan bawa lari sembilan PATI Myanmar gagal selepas SUV terbabas di Tanah Merah
November 24, 2026, 9:46 am
Wanita maut dirempuh pemandu Tesla disyaki mabuk, langgar lampu merah di Kulim
November 24, 2026, 9:28 am
Mayat lelaki disyaki mangsa bunuh ditemukan terbenam dalam lumpur di Nibong Tebal
November 23, 2026, 10:10 pm
Ibu, dua anak maut MPV terbabas dalam perjalanan pulang hantar anak ke universiti
November 23, 2026, 9:32 pm
Asyraf Wajdi mengamuk! Dewan makan MRSM tun Ghafar Baba didakwa hidang pelajar ayam tak cukup masak
November 23, 2026, 9:21 pm
Baru hari pertama SPM, pelajar 17 tahun cedera terjatuh dari tingkat dua sekolah di Batu Pahat
November 23, 2026, 8:04 pm
Boleh rosak fungsi hati, KKM kesan racun dalam dua kosmetik, arah jualan dihentikan
November 23, 2026, 4:42 pm
