Berita Berita
Cubaan bawa lari sembilan PATI Myanmar gagal selepas SUV terbabas di Tanah Merah
TANAH MERAH, 24 Nov. – Cubaan seorang lelaki tempatan melarikan diri daripada pemeriksaan polis dengan memecut kenderaan yang membawa sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berakhir apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Hyundai Santa Fe yang dipandunya terbabas di Kampung Alor Pasir, di sini kelmarin.
Kenderaan berkenaan mula dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang menjalankan rondaan di sekitar Kampung Repek, Pasir Mas kira-kira jam 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak memecut kenderaannya bagi meloloskan diri sehingga ke Kampung Alor Pasir sebelum terbabas berhampiran sebuah rumah di tepi jalan.
Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu mendapati ia dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun bersama sembilan migran warga Myanmar terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita berusia antara 18 hingga 47 tahun di bahagian penumpang.
Kesemua warga asing tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.
Tambah Mohd Haki, semakan rekod jenayah turut mendapati pemandu berkenaan mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kes narkotik serta tiga rekod lampau membabitkan kes jenayah.
Polis turut merampas SUV Hyundai Santa Fe berkenaan, sebuah telefon bimbit serta satu unit kunci kereta sebelum kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke ibu pejabat polis untuk tindakan lanjut, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. — Media Telus
Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube
Berita berkaitan
November 24, 2026, 9:58 am
KKR teliti cadangan lebuh raya bertol baharu atasi kesesakan Lebuhraya Persekutuan – Alexander Nanta
November 24, 2026, 9:46 am
Wanita maut dirempuh pemandu Tesla disyaki mabuk, langgar lampu merah di Kulim
November 24, 2026, 9:28 am
Mayat lelaki disyaki mangsa bunuh ditemukan terbenam dalam lumpur di Nibong Tebal
November 23, 2026, 10:10 pm
Ibu, dua anak maut MPV terbabas dalam perjalanan pulang hantar anak ke universiti
November 23, 2026, 9:32 pm
Asyraf Wajdi mengamuk! Dewan makan MRSM tun Ghafar Baba didakwa hidang pelajar ayam tak cukup masak
November 23, 2026, 9:21 pm
Baru hari pertama SPM, pelajar 17 tahun cedera terjatuh dari tingkat dua sekolah di Batu Pahat
November 23, 2026, 8:04 pm
Boleh rosak fungsi hati, KKM kesan racun dalam dua kosmetik, arah jualan dihentikan
November 23, 2026, 4:42 pm
