TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mansuh MSSD, MSSM bukan penyelesaian isu guru tidak masuk kelas – Fadhlina

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 26 Nov. – Cadangan memansuhkan kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bukanlah penyelesaian kepada isu guru tidak masuk ke kelas, sebaliknya perkara tersebut perlu dilaporkan kepada pentadbir sekolah untuk tindakan segera.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan, pembangunan murid perlu merangkumi kecemerlangan akademik serta pembangunan secara holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran balas di aplikasi Threads selepas seorang pengguna menyarankan supaya MSSD dan MSSM dimansuhkan serta aktiviti sukan dihadkan di peringkat sekolah sahaja susulan kebimbangan anaknya kerap tercicir sesi pembelajaran akibat guru bertugas sebagai jurulatih atau guru pengiring sehingga silibus didakwa tidak sempat dihabiskan sebelum Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

Perbincangan di ruangan balas hantaran berkenaan turut membangkitkan isu beban tugas guru apabila segelintir warga maya mendakwa ketidakhadiran ke kelas turut berpunca daripada penglibatan dalam pertandingan luar, program kecerdasan buatan (AI), serta pelantikan sebagai ahli jawatankuasa di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Selain itu, pengguna media sosial turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan dasar Melindungi Masa Instruksional (MMI), aspek keselamatan murid dan guru yang menggunakan kenderaan sendiri, kos minyak serta tol yang ditanggung sendiri, di samping kebergantungan kepada dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menampung kos makan minum dan penginapan.

Sehubungan itu, beberapa cadangan alternatif turut dikemukakan orang ramai antaranya melantik jurulatih khusus bukan daripada kalangan guru untuk mengendalikan latihan sukan murid serta menyerahkan pengurusan kokurikulum dan sukan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau kelab luar bagi membolehkan guru memberi tumpuan penuh terhadap pengajaran akademik. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset