TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rapid KL aktif tren alternatif, bas perantara percuma susulan gangguan bekalan kuasa Laluan Kelana Jaya

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 26 Nov. – Rapid KL mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma susulan gangguan bekalan kuasa landasan antara Stesen Subang Jaya dan Lembah Subang hari ini yang menjejaskan operasi Laluan Kelana Jaya di empat stesen iaitu Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang.

Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan tren alternatif yang dilaksanakan membabitkan tren dari Stesen Putra Heights yang berpatah balik di Stesen Subang Jaya serta tren dari Stesen Gombak yang berpatah balik di Stesen Lembah Subang dengan kekerapan setiap enam minit.

Selain itu, tren perantara turut beroperasi antara Stesen Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang menggunakan Platform 2 dengan kekerapan setiap 12 minit, manakala bas perantara ulang-alik percuma disediakan bagi laluan sama pada selang masa antara 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.

Penumpang dijangka berdepan tempoh menunggu lebih lama selain kemungkinan tren bergerak perlahan dan berhenti lebih lama di platform, justeru orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif termasuk Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya.

Pasukan teknikal kini berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan untuk memulihkan operasi secepat mungkin, sementara anggota polis bantuan serta petugas stesen turut ditempatkan di platform dan ruang legar bagi membantu penumpang.

Orang ramai disarankan merujuk saluran media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi perjalanan MyRapid PULSE bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan Laluan Kelana Jaya. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset