TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM tolak dakwaan amal siasatan dua darjat, sahkan 20 saksi kes JALB sudah dirakam keterangan

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA, 27 Nov. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan Penasihat DAP, Lim Guan Eng bahawa agensi berkenaan mengamalkan siasatan secara dua darjat (double standard).

SPRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dakwaan tersebut adalah sama sekali tidak berasas dan tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan suruhanjaya itu dalam melaksanakan setiap siasatan.

Menurut kenyataan tersebut, SPRM telah memulakan siasatan berhubung isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) melibatkan sebuah kementerian pada 7 Oktober lalu dengan seramai 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dirakam percakapan setakat ini.

Siasatan berkenaan masih diteruskan dan segala maklumat serta keterangan yang diperoleh sedang diteliti bagi memastikan setiap aspek disiasat secara menyeluruh.

SPRM menjelaskan agensi itu menghormati hak mana-mana individu untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran, namun menegaskan sebarang dakwaan hendaklah berlandaskan fakta yang sahih serta disampaikan secara bertanggungjawab dan bukannya berdasarkan persepsi atau andaian semata-mata.

Suruhanjaya itu turut menegaskan setiap siasatan dilaksanakan berpandukan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang mana-mana individu demi memelihara prinsip kedaulatan undang-undang.

Semalam, Guan Eng dilaporkan mendakwa SPRM mengambil tindakan segera terhadap kes membabitkan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), namun didakwa tiada tindakan sama berhubung isu perbelanjaan berlebihan RM2.1 bilion oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset