TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Jerat tak pernah lupakan pelanduk’ - Saifuddin sahkan dalang sindiket dadah TUDM lolos ketika operasi

By
|
Kongsi
image

 

BALING 28 Nov - Polis mempergiat usaha memburu dalang utama sindiket pengedaran dadah yang disyaki membabitkan pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas suspek meloloskan diri ketika operasi tangkapan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata polis sudah mengenal pasti suspek dan sedang mengesannya.

"Kita sudah kenal pasti dalang utama tapi apabila tangkapan dibuat, dia lolos...dia dalam radar pengesanan polis.

'Dia (dalang utama) pelanduk mungkin lupakan jerat, tapi jerat tak pernah lupakan pelanduk. Itu saja saya boleh sebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jelajah Wira MADANI dan Santuni MADANI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Masjid al Hasaniah, Kampung Rambong Pulai, Kupang, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang lagi pegawai TUDM dan empat orang awam ditahan bagi membantu siasatan terhadap sindiket yang disyaki menggunakan aset ketenteraan untuk menyeludup dadah merentas sempadan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, dipetik berkata lima tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah individu yang ditahan setakat ini seramai 18 orang.

Menurut Saifuddin, tangkapan itu hasil risikan berterusan dan soal siasat terhadap 13 suspek yang ditahan sebelum ini, terdiri daripada enam warga TUDM dan tujuh orang awam.

Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti peranan setiap individu dalam rangkaian itu, termasuk pembiaya, perancang utama, pengangkut, penghantar, pemberi maklumat dan penyelaras kegiatan.

Siasatan turut diperluas bagi mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

"Bekalan dadah ke negara kita sebahagian besarnya memang masuk dari Segi Tiga Emas.

"Bagaimanapun, biarlah bahagian narkotik menyelesaikan tugasan mereka kerana mereka sedang meluaskan jaringan untuk mengesan beberapa lagi pemain yang terbabit," katanya.

+ - reset