TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Terpedaya gaji lumayan, 72 rakyat Malaysia diselamatkan di India, dipaksa jalankan penipuan siber

By
|
Kongsi
image

 

NEW DELHI 27 Nov - Polis India menyelamatkan 72 rakyat Malaysia dan 92 warga Indonesia dalam operasi membanteras rangkaian jenayah siber antarabangsa di pinggir New Delhi, lapor AFP.

Kesemua 164 warga asing itu dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas diperdaya dengan pelbagai helah, termasuk tawaran pekerjaan dan peluang menjana pendapatan lumayan, menurut kenyataan polis India lewat Khamis.

“Selepas tiba, warga asing terbabit dipercayai dikurung dan dipaksa menjalankan kegiatan penipuan siber,” menurut kenyataan itu.

Susulan operasi itu, polis menahan seorang warga Malaysia yang peranannya dalam sindiket berkenaan masih disiasat. Polis turut mengenal pasti dua warga India yang bertindak sebagai pengendali operasi.

Kes itu disifatkan jarang berlaku di India. Kegiatan penipuan siber berleluasa di negara itu, manakala kes pemerdagangan warga asing untuk menjalankan kegiatan berkenaan kurang lazim.

Pusat operasi penipuan siber seumpamanya banyak bertapak di Asia Tenggara, dengan sindiket memperdaya mangsa menerusi skim percintaan palsu, pelaburan mata wang kripto dan platform pertaruhan dalam talian.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini menganggarkan sekurang-kurangnya 300,000 individu menjadi mangsa pemerdagangan manusia ke pusat operasi penipuan siber di seluruh Asia Tenggara.

Menurut Kementerian Luar India, lebih 2,400 rakyat negara itu dibawa pulang dari pusat penipuan siber di Myanmar sepanjang tempoh setahun lalu. — AFP

+ - reset