TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Seorang lagi pegawai TUDM ditahan dalam kes dadah RM4.83 juta, jumlah tangkapan kini 18 orang

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 27 Nov - Jumlah tangkapan dalam siasatan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan yang disyaki menggunakan aset ketenteraan meningkat kepada 18 orang selepas polis menahan seorang lagi pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan empat orang awam semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata lima tangkapan terbaharu itu hasil risikan berterusan dan soal siasat terhadap 13 suspek yang ditahan sebelum ini bagi mengenal pasti dalang utama sindiket berkenaan.

“Pegawai TUDM berusia 29 tahun yang bertugas di TUDM Tawau, Sabah itu ditahan di pekarangan pejabat Cawangan Penyiasatan Jenayah Zon Tengah, Pangkalan Udara Subang, Selangor kira-kira 6.40 petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan penahanan itu, JSJN Bukit Aman melakukan beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang kira-kira jam 10.20 malam dan menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 28 tahun serta seorang lelaki warga China berusia 30 tahun.

Hussein berkata, semakan mendapati ketiga-tiga lelaki tempatan itu masing-masing mempunyai antara satu hingga dua rekod jenayah lampau. Seorang daripada mereka pernah ditahan mengikut peruntukan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Daripada kesemua 18 suspek yang ditahan yang terdiri daripada lapan pegawai dan anggota TUDM serta 10 orang awam, lapan individu telah dituduh di mahkamah di Kuala Lumpur dan Selangor hari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Lima suspek masih dalam tahanan reman, manakala siasatan dan risikan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti dalang utama serta individu lain yang terlibat dalam rangkaian sindiket itu,” katanya.

Sebelum ini, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila 96.64 kilogram dadah disyaki metamfetamina bernilai RM4.83 juta dan 6.98 kilogram bahan kimia ditemukan ketika hendak dimuatkan ke dalam sebuah pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang.

Penemuan itu membawa kepada beberapa siri serbuan di Lembah Klang, Labuan dan sebuah pangkalan udara di Tawau, Sabah, yang menyaksikan beberapa suspek ditahan.

Sindiket itu dipercayai aktif sejak Julai lalu dan menggunakan kemudahan pengangkutan udara tentera untuk menyeludup dadah dari Semenanjung ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, termasuk Filipina dan Indonesia. - BERNAMA

+ - reset