TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gara-gara berebut teman lelaki, remaja perempuan 17 tahun maut dipercayai diserang beramai-ramai

By
|
Kongsi
image

 

MALANG 28 Nov - Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke Hospital Lavalette susulan insiden dia dipercayai diserang sekumpulan remaja di Malang, Jawa Timur, Indonesia, malam Rabu lalu.

Mangsa, Silva Nur Intania Putri, yang bersekolah di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 7 Malang, dijemput dua remaja perempuan dari rumahnya sebelum dibawa ke kawasan Perumahan Bulan Terang Utama.

Menurut laporan media tempatan, Silva dipercayai bertengkar dengan sekumpulan remaja di kawasan itu sebelum dipukul pada bahagian kepala dan ditendang sehingga terjatuh.

Dia kemudian didapati tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Lavalette untuk rawatan. Pihak hospital bagaimanapun mengesahkan Silva sudah meninggal dunia.

Jenazahnya kemudian dibawa ke Hospital Dr Saiful Anwar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pertikaian peribadi, termasuk dakwaan berebut teman lelaki. Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian.

Polis Kota Malang sudah memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan, termasuk empat remaja perempuan yang kesemuanya masih bawah umur.

Keluarga Silva yang terkejut dengan kejadian itu berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbukti terlibat dalam kematiannya.

Kes itu turut mendapat perhatian ramai selepas kisah Silva tular di media sosial.

Sumber: Agensi

+ - reset