Berita Berita
Tak pernah berpisah sejak lahir, kembar tiga terima ijazah serentak di USM
GEORGE TOWN 27 Nov – Dilahirkan selang seminit dan tidak pernah berpisah sejak kecil, tiga beradik kembar menerima ijazah masing-masing secara berturutan pada Upacara Konvokesyen ke-64 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam.
Mohamed Azmin, Mohamed Azwan dan Mohamed Azrul, masing-masing berusia 26 tahun, bersyukur dapat menamatkan pengajian bersama-sama dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) masing-masing 3.50, 3.61 dan 3.51.
Ketiga-tiga graduan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan itu memilih Antropologi dan Sosiologi sebagai bidang pengkhususan utama serta Psikologi sebagai bidang pengajian sampingan.
Anak kepada pasangan Dawlath Mohamed Ahmad, 61, yang juga bekas guru tuisyen, dan Nasirabanu S Inayadulla, 57, itu turut berkongsi cita-cita untuk menjadi pendidik serta berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
"Kami tidak pernah berpisah sejak kecil dari zaman sekolah, semasa politeknik juga pilih kursus sama iaitu Diploma Perakaunan tetapi mungkin selepas ini kami akan membawa haluan masing-masing selepas bekerja sebab agak mustahil ketiga-tiga kami akan diambil bekerja di tempat sama.
"Adik saya Mohamed Azwan bercita-cita menjadi guru Matematik, manakala saya sendiri berminat mengajar Bahasa Inggeris dan Mohamed Azrul pula terbuka untuk mengajar mana-mana mata pelajaran bersesuaian.
"Buat masa ini, kami belum pernah bekerja sambilan sebagai guru tuisyen tetapi merancang untuk melakukannya pada masa depan kerana kami memang minat mengajar dan berkongsi ilmu," kata Mohamed Azmin kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohamed Azmin berkata, detik menerima ijazah daripada Pro-Canselor USM, Tan Sri Dr Zulkefli A Hassan, lebih bermakna apabila mereka dipanggil mengikut turutan kelahiran.
Mohamed Azmin dilahirkan pada jam 9.11 pagi, diikuti Mohamed Azwan pada jam 9.12 pagi dan Mohamed Azrul pada jam 9.13 pagi.
"Alhamdulillah kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, semua pensyarah dan rakan-rakan yang telah banyak membantu dan mempermudahkan urusan kami bertiga dalam menamatkan pengajian di USM," katanya.
Sementara itu, Mohamed Azwan berkata, persamaan wajah antara mereka kadangkala mengelirukan pensyarah dan rakan sekuliah. Ada kalanya mereka hanya mengangguk apabila dipanggil dengan nama salah seorang daripada mereka.
Katanya, sepanjang pengajian, mereka banyak menghabiskan masa belajar bersama menerusi kumpulan perbincangan bagi membantu satu sama lain memahami subjek yang dipelajari.
"Kami akan belajar bersama-sama dan jika ada antara kami yang tidak faham sesuatu perkara atau tugasan seorang lagi akan membantu menerangkannya selain bertukar idea dan mendapatkan pandangan rakan lain.
"Kami tidak rasa ia macam satu persaingan tetapi kami lebih kepada saling bantu membantu dan sentiasa hidup bekerjasama sebagai adik beradik kembar yang mempunyai ikatan rapat antara satu sama lain," katanya.
Berita berkaitan
November 27, 2026, 10:46 pm
Seorang lagi pegawai TUDM ditahan dalam kes dadah RM4.83 juta, jumlah tangkapan kini 18 orang
November 27, 2026, 10:29 pm
Terpedaya gaji lumayan, 72 rakyat Malaysia diselamatkan di India, dipaksa jalankan penipuan siber
November 27, 2026, 9:20 pm
Dr Chandra Muzaffar meninggal dunia
November 27, 2026, 5:15 pm
186,318 rumah baharu 'tak laku', dianggarkan hampir 40 bulan untuk habiskan stok
November 27, 2026, 3:42 pm
‘Solat adalah ibadah, jangan dibuat content’ – CEO Media Prima Audio mohon maaf, tegur dua DJ Fly FM
November 27, 2026, 3:36 pm
Mayat lelaki ditemui separuh tertanam di Nibong Tebal dikenal pasti sebagai warga Myanmar
November 27, 2026, 3:28 pm
